'Datuk' tawar kad pekerja asing palsu ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah agensi pekerjaan bergelar ‘Datuk’ ditahan kerana disyaki menawarkan kad pekerja asing palsu dalam serbuan di sebuah hotel di sini hari ini.

Tangkapan pada jam 3.30 petang itu dibuat menerusi operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil maklumat dan risikan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tujuh lagi warga tempatan dan seorang warga Indonesia turut ditahan bersama pelbagai dokumen menggunakan nama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan imigresen yang disyaki palsu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati agensi pekerjaan itu menjalankan aktiviti pendaftaran kad untuk warga asing dikenali sebagai Malaysian Clarification Authority Card (MCAC) dengan menggunakan nama KDN dan jabatannya.

“Agensi ini menyasarkan warga asing yang berstatus pendatang tanpa izin untuk mendaftar dengan mereka dan mendapatkan kad MCAC yang didakwa berfungsi sebagai ‘permit kerja’ dan boleh bekerja di mana-mana sektor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendatang tanpa izin perlu membayar RM4,000 sebagai wang pendahuluan sebelum menjalani temu duga yang didakwa dikendalikan oleh pegawai KDN dan pihak imigresen.

Katanya, dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas melalui fasa temu duga, warga asing terbabit dikatakan akan melalui proses tapisan PDRM untuk tujuan pemeriksaan rekod jenayah.

“Selepas semua proses itu selesai, pendatang tanpa izin perlu membayar baki RM4,500 lagi bagi melengkapkan urusan dan mendapatkan kad MCAC yang telah siap,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairul Dzaimee berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta. - Bernama