Lelaki parah ditikam rakan sekerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Gara-gara lewat datang ke tempat kerja, seorang pekerja sebuah syarikat penghantaran cedera parah selepas ditikam rakan sekerjanya dalam pergaduhan di syarikat itu di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 24 tahun berkenaan ditikam di bahagian dada, rusuk kiri, dagu dan tangan kanan oleh suspek yang juga ketua kumpulan kerjanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 27 tahun itu sangat marah dan berang kerana ada antara pekerja kumpulan itu termasuk lelaki berkenaan, tidak menepati masa ketika menjalankan tugas meskipun telah ditegur oleh suspek beberapa kali sebelum ini.

"Kejadian itu berlaku ketika lelaki itu baru tiba untuk masuk bekerja dan berlaku pertengkaran apabila suspek marahkan lelaki itu kerana datang lambat sebelum dia (suspek) mengambil pisau dan menikam pekerja berkenaan. Suspek kemudiannya melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jafri berkata, lelaki yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal serta masih belum sedar.

Katanya, polis berjaya menahan suspek di Seberang Perai pada jam 6.30 petang dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: