Contohi Program Food Bank Malaysia

No Image Caption
A
A
A

PROGRAM Food Bank Malaysia yang dilancarkan secara rasmi pada Disember tahun lepas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberi manfaat kepada lebih 300,000 isi rumah di seluruh negara sehingga Ogos lalu.

Walaupun pelancaran program tidak sampai setahun, tetapi jika diukur kepada jumlah yang menerima manfaat, keberkesanan program tersebut tidak dapat disangkal lagi.

Malah, kementerian turut cakna kepada golongan siswa di pusat pengajian tinggi yang umum mengetahui bahawa mereka sering mengikat perut untuk kelangsungan hidup.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan terbaharunya berkata, Program Food Bank Siswa Malaysia akan diperluaskan kepada 123 institusi pengajian tinggi (IPT) merangkumi politeknik, institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada tahun depan.

Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi tujuan tersebut.

“Pada tahun ini, sebanyak 22 universiti awam telah mendapat manfaat daripada program berkenaan dan ia melebihi sasaran awal sebanyak 20 universiti awam yang ditetapkan,” katanya semasa Majlis Perasmian Food Bank Siswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Isnin.

Itulah ciri-ciri ‘walk the talk’ yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam meringankan beban rakyat terutama mereka dalam golongan yang memerlukan perhatian.

Ia juga menepati ciri-ciri pimpinan yang diharapkan rakyat iaitu menggalas tanggungjawab dengan baik dan hasilnya dinikmati dengan cara yang mudah tanpa sebarang kerenah.

Artikel Berkaitan:

Rakyat bawahan mahukan lebih banyak program-program kebajikan yang memberikan manfaat secara langsung kepada mereka dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Apa yang diharapkan ialah selepas ini, tiada lagi rakyat yang terpaksa mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari atau kesengsaraan lain setelah menerima bantuan-bantuan daripada kerajaan.