Tempoh beku tamat: Hanya 19 mohon AP

Pemeriksaan dilakukan ke atas premis yang memproses barangan kitar semula plastik import di Sungai Petani semalam.
Pemeriksaan dilakukan ke atas premis yang memproses barangan kitar semula plastik import di Sungai Petani semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hanya 19 permohonan baharu lesen import (AP) memproses barangan plastik kitar semula diterima daripada keseluruhan 114 syarikat seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, lesen berkenaan dibekukan sejak Julai 2018 untuk tempoh tiga bulan sebelum penambahan prosedur baharu serta beberapa syarat ketat dilaksanakan.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan pemegang AP, hanya 54 sahaja yang aktif menjalankan kegiatan memproses plastik kitar semula, namun hasil pemeriksaan mendapati, sekurang-kurangnya lapan syarikat memenuhi kriteria ditetapkan.

“Kesemua 114 pemegang lesen AP ini kena mohon semula selepas kita bekukan.

“Setakat ni ada 19 yang memohon tetapi sebelum diluluskan saya nak tengok kalau nampak operasi dia bertepatan dengan apa yang kita nak, saya akan luluskan kerana tidak mahu merugikan potensi industri kitar semula plastik ini yang mana ia memberi pulangan menguntungkan kepada negara,” katanya.

Beliau ditemui ketika membuat pemeriksaan mengejut di sebuah kilang memproses plastik kitar semula di Kawasan Perusahaan Sungai Petani semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar.

Beliau berkata, Malaysia boleh menjadi pemain utama kerana industri ini menyumbang sebanyak RM30 bilion kepada pendapatan negara dan RM600 bilion di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Jadi kalau kita buat dengan baik ia akan menjadi pendapatan buat negara, cuma kita nak kena buat betul-betul, rakyat pun kena faham antara plastik sampah dengan plastik kualiti yang kita import, ia berbeza,” katanya.

Sementara itu, katanya, pemeriksaan ke atas kilang yang menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu mendapati, besar kemungkinan ia beroperasi tanpa kebenaran.

“Bila kita masuk sini, kita lihat memang ketara ada kerja memproses plastik yang tidak ada kebenaran kerana mereka buka lesen dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah bawah aktiviti berbeza.

“Kita difahamkan, kilang beroperasi waktu malam tetapi malam ini tiada pula kerja-kerja dijalankan, dengan bantuan PBT kita dapat masuk,” katanya.

Jelasnya, jika ikutkan pendaftaran, kilang tersebut tidak mendaftar sebagai syarikat yang diluluskan import plastik, plastik yang berkualiti yang dibenarkan untuk diproses sebelum dieksport.

Beliau bagaimanapun meminta agar PBT berbincang dengan pengusaha terbabit untuk tindakan selanjutnya sementara arahan menghentikan operasi perlu dilakukan.

Dalam pada itu, di Kedah, terdapat tujuh pemegang AP termasuk tiga di Sungai Petani.