Jalinan MFL, LaLiga perkasa industri bola sepak tempatan

Kevin
Kevin
A
A
A
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan gergasi bola sepak Sepanyol, LaLiga untuk membangunkan program pendidikan dan memupuk semangat profesional dalam industri bola sepak tempatan.

MFL dan LaLiga Business School akan membangunkan pengajian berkaitan sukan untuk membantu golongan profesional seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kelab Liga Malaysia termasuk semua pihak yang terlibat dalam industri bola sepak bermula awal tahun depan dengan kursus pemasaran sukan (27 hingga 30 Mac 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, kerjasama itu meliputi setiap aspek bola sepak di negara ini bukan hanya tumpuan kepada aspek teknikal.

“Matlamat kerjasama ini adalah untuk memberi asas ilmu praktikal dan teori mereka serta rangkaian hubungan dan menyediakan medium untuk keseluruhan industri bola sepak tempatan untuk memperoleh pengetahuan.

“Ini satu pencapaian yang mana Liga Malaysia memainkan peranan penting dan saya percaya kerjasama ini akan memanfaatkan MFL dan Liga Malaysia khususnya dalam mendidik pegawai pengurusan bola sepak untuk mengendalikan lebih banyak pasukan profesional dan berdaya saing,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu yang dihadiri delegasi daripada kedua-dua belah pihak di Wisma FAM di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah LaLiga Business School, Jose Moya berkata, perjanjian ini mengetengahkan komitmen LaLiga untuk pembangunan bola sepak profesional di peringkat antarabangsa serta latihan dan pendidikan kelas dunia.

“Kami sangat gembira berada di sini hari ini dan buat kali pertama kami menyumbang bukan sahaja ilmu pengetahuan tetapi juga para profesional kami yang sudah berada di Malaysia untuk bersama-sama membangunkan program sukan,” katanya.

Berikutan perjanjian itu, kedua-dua pihak akan melancarkan Program Pemasaran Sukan menyasarkan individu daripada kelab, kakitangan teknikal daripada MFL dan FAM, badan sukan Malaysia yang lain dan orang awam.

Untuk rekod, LaLiga Business School adalah jabatan pendidikan LaLiga yang ditubuhkan untuk melatih bakat dalam sektor industri sukan dan membantu berkongsi kepakaran profesional dalam pengurusan sukan.
Artikel Berkaitan:


Kerjasama terbaharu ini menyaksikan Malaysia mengikut jejak langkah Mexico, Mesir dan Colombia yang telah bekerjasama dengan LaLiga sekali gus membuktikan komitmen LaLiga dalam menyediakan latihan dan pendidikan sebagai asas profesionalisme dalam sektor ini. - Bernama