Rakyat perlu sokong produk buatan negara: Syed Saddiq

Syed Saddiq (empat dari kiri), Ameer Ali (tiga dari kiri) serta Ahmad Izham (dua dari kanan) menggayakan aksi karakter animasi Ejen Ali selepas Majlis Pelancaran kempen 'Ejen Ali Misi Kembali Ke Sekolah di Mydin' di Mydin USJ di sini hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SUBANG JAYA - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk terus membeli dan menyokong produk buatan Malaysia.

Beliau berkata, sokongan ke atas produk tempatan sangat penting kerana produk dimiliki negara terbukti mempunyai kualiti yang baik.

"Jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahu bantu syarikat-syarikat tempatan atau produk-produk buatan negara, siapa lagi?," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran kempen Ejen Ali Misi Kembali Ke Sekolah di Mydin di Mydin USJ di sini hari ini.

Menurutnya, kolaborasi antara pasaraya besar Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) bersama syarikat gergasi media, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios)

menerusi kempen kembali ke sekolah yang dilancarkan hari ini adalah contoh terbaik bagaimana kerjasama antara syarikat tempatan dapat dijalin untuk saling menyokong jenama buatan Malaysia.

"Saya harap rakyat Malaysia tidak kira lapisan agama, bangsa atau umur dapat menyahut seruan ini dengan pergi menonton sebuah filem animasi tempatan keluaran Primeworks Studios yang akan ditayangkan bermula 28 November ini.

"Semoga ia akan menjadi permulaan untuk kita terus menyokong produk-produk keluaran tempatan pada masa depan.... Lebih tepat ia sebenarnya adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk melakukannya," katanya.

Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar.

Sementara itu Ahmad Izham berkata, beliau percaya filem animasi keluaran pihaknya itu akan menjadi penanda aras kepada kejayaan filem animasi negara pada tahun ini setanding dengan jenama dari luar negara.

"Filem ini memaparkan tiga elemen setaraf antarabangsa iaitu dari segi kualiti visual, susunan muzik serta gaya penceritaan yang sangat mendalam.

"Saya yakin semua penonton tidak kira kanak-kanak atau dewasa akan menyukai filem ini," katanya.

Dalam pada itu Ameer Ali menyifatkan kerjasama Mydin bersama Primeworks Studios adalah bagi menonjolkan kualiti produk buatan tempatan.

"Mydin biasa buat kempen dan program sendiri tapi kali ini kita pilih untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan untuk kempen kembali ke sekolah yang akan berlangsung pada 1 Disember ini sehingga 31 Januari 2020.

"Ini adalah sebahagian komitmen kami untuk angkat hasil karya tempatan ke taraf antarabangsa," katanya.