KTM mohon maaf sistem jualan tiket tergendala

Kamarulzaman memberi penjelasan mengenai masalah sistem jualan tiket KTMB pada sidang media di Kuala Lumpur.
Kamarulzaman memberi penjelasan mengenai masalah sistem jualan tiket KTMB pada sidang media di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permintaan tinggi yang mendadak untuk pembelian tiket kereta api bagi perjalanan tiga bulan akan datang menjadi punca sistem jualan tiket perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tergendala semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, pihaknya memohon maaf atas kesulitan itu dan memberi jaminan KTMB berusaha mengatasi masalah tersebut dengan mengambil tindakan sewajarnya.

"Beberapa langkah segera telah diambil KTMB bagi menangani isu ini, khusus yang melibatkan keupayaan sistem dan server.

"Ia termasuk meningkatkan kapasiti internet bandwith sistem atas talian dari 100Mbps kepada 200Mbps, selain keupayaan server CPU (Centralised Processing Unit) kepada pangkalan data sistem jualan tiket," katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, permintaan tinggi bagi perkhidmatan KTMB disebabkan tempoh perjalanan yang turut melibatkan beberapa cuti penting termasuk cuti sekolah, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Thaipusam.

”Purata jualan tiket harian sebanyak 12,000 tiket sehari berbanding hampir 30,000 transaksi yang berjaya dijual sejak penjualan dibuka sejak 8.30 pagi semalam.

”Ia telah menyebabkan kesesakan yang tinggi berlaku ke atas server yang telah merekodkan hampir 400,000 jumlah pengguna,” katanya.

Kamarulzaman berkata, KTMB juga sedang berusaha menukar sistem jualan tiket sedia ada kepada sistem yang lebih stabil.

Artikel Berkaitan:

"Ia seiring dengan program digitilisasi KTMB yang dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun depan," katanya.

KTMB menawarkan hampir 1.2 juta tiket bagi tempoh perjalanan antara 1 Disember ini sehingga 29 Februari 2020 dan daripada jumlah itu, sebanyak 57,441 tiket telah terjual sehingga jam 10 malam semalam.