Najib beri gambaran stesen minyak untung besar, tapi...

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kenaikan komisen yang diterima oleh pengusaha stesen minyak di negara ini seolah-olah memberi gambaran bahawa pihak berkenaan memperoleh RM30 juta setiap bulan.

Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) dalam satu kenyataan berkata, jika dibahagikan kepada 3,500 stesen di seluruh negara purata kenaikan pendapatan kasar adalah RM8,500 sebulan setiap stesen.

Menurutnya, kenaikan kos yang ditanggung pengusaha selama 10 tahun yang lalu juga sudah melebihi RM10,000 sebulan.

"Untuk pengusaha yang jualan mereka rendah (200,000 liter ke bawah), penambahan pendapatan kasar ini adalah kurang daripada RM6,000 sebulan dan hanya sekadar digunakan untuk mengurangkan kerugian atau menjana keuntungan yang minima.

"Sejak 10 tahun lalu, di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini, telah banyak kali diulaskan untuk meneliti nilai komisen ini lantas banyak persetujuan yang tidak ditunaikan sehingga mengakibatkan terencatan industri ini. Kerajaan kali ini sekurang-kurangnya memahami situasi dan cuba memperbetulkan keadaan," katanya, hari ini.

Sebelum ini Najib berkata, pengumuman harga minyak baharu mengesahkan bahawa kerajaan PH telah menaikkan margin keuntungan untuk pengusaha stesen petrol sebanyak 23 peratus untuk RON95 dari 12.19 sen kepada 15 sen satu liter.

Beliau berkata, margin keuntungan untuk diesel dinaikkan 43 peratus dari 7 sen kepada 10 sen satu liter.

Jelasnya, penjualan RON95 di Malaysia ialah sebanyak 1.1 bilion liter setiap bulan dan ia membawa maksud pengusaha stesen minyak boleh mengaut keuntungan tambahan sebanyak RM30 juta setiap bulan ataupun RM360 juta setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, PDAM berkata, kerajaan BN di bawah pemerintahan Najib sebelum ini pernah membuat kajian mengenai industri peruncitan petroleum bahawa ramai golongan pengusaha stesen minyak layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana rata-rata pendapatan mereka kurang daripada RM4,000 sebulan.

"Berdasarkan data kami, hanya 10 peratus daripada pengusaha seluruh Malaysia tergolong dalam kategori jualan tinggi iaitu melebihi 600,000 liter sebulan. Manakala 67 peratus berada dalam kategori jualan rendah hingga ke pertengahan (Jualan di bawah 400,000 liter sebulan), dan ini termasuk 20 peratus di bawah 200,000 liter sebulan.

"Bagi yang menjual di bawah 200,000 liter sebulan pula pendapatan bersih adalah kurang daripada RM1,500 sebulan. Kos seperti penggajian, utiliti, caj kad kredit, sewa kepada syarikat minyak yang semakin tinggi menyebabkan ramai yang beroperasi dalam kerugian.

Tambah PDAM, walaupun kerajaan pernah membuat kajian dan mengakui perlunya ada kenaikan komisen dulu, Najib tidak membuatnya sebelum PRU14 kerana risau untuk menempuhi pilihanraya dengan populariti yang kian terhakis.

"Oleh itu, kerajaan BN sebelum PRU14 mengikatkan janji kepada pengusaha untuk menaikan komisen selepas pilihan raya.

"Sementara itu, ramai pengusaha telah menggulung tikar, ramai pekerja hilang pendapatan, dan lebih ramai keluarga menjadi mangsa kepada kerajaan Najib yang tidak bertindak untuk membetulkan apa yang sepatutnya dibuat," ujarnya.

Beliau berkata lagi, ketika Najib memegang jawatan Menteri Kewangan, kos operasi di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) telah dinaikkan bagi syarikat daripada 8.13 sen seliter di Sarawak dan 8.98 sen seliter di Sabah kepada 9.54 sen seliter pada tahun 2017.

"Ini adalah peningkatan untuk syarikat minyak berdasarkan kajian teliti terhadap kenaikan kos operasi syarikat minyak. Kenapa tidak juga memberi tumpuan kepada kami sebagai peruncit kecil yang jauh lebih sensitif kepada peningkatan kos?," soalnya.

Kenyataan tersebut turut menerangkan bahawa, kajian komponen APM perlu dilakukan secara tahunan berlandaskan kajian menyeluruh dan mengambil kira segala kenaikan kos yang berlaku sepanjang tahun.

"Kajian tahunan ini telah pun dipraktikkan di negara-negara lain seperti Afrika Selatan yang mana syarikat minyak terbesar Engen adalah anak syarikat Petronas sendiri. Perubahan komponen APM perlu diketahui umum dan tidak boleh dianggap remeh atau dijadikan isu politik.

"Semua kenaikan sebelum ini adalah berdasarkan kajian yang menyeluruh dan harga pam yang diletak adalah berpatutan untuk rakyat," jelasnya.