Alat pengukur gas dipasang sekitar Pasir Gudang

Bee Yin dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Bagi Membincangkan Hasil Kajian 'Loading Analyisis dan Carrying Capacity' di Pasir Gudang di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad hari ini. - Foto Bernama
Bee Yin dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Bagi Membincangkan Hasil Kajian 'Loading Analyisis dan Carrying Capacity' di Pasir Gudang di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 25 alat pengukur gas automatic TVOC (sebation organik tidak menentu), pengesan pemfotoionan (PID) akan diletakkan di sekitar kawasan industri di Pasir Gudang bagi tujuan pemantauan kualiti udara di kawasan berkenaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pemasangan alat bernilai RM2.52 juta itu dapat membina rangkaian sistem amaran tepat masa yang berperanan dalam memberi amaran awal supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil dengan secepat mungkin.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 23 PID telah dipasang manakala selebihnya pula pada hujung bulan ini.

“Selepas pemasangan PID, kita memerlukan lebih kurang tiga bulan bagi proses penentukuran asas ... selepas itu baru sistem itu boleh digunakan dengan tepat.

“Pasir Gudang juga dijangka akan menjadi kawasan industri pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan sistem amaran tepat masa untuk TVOC menjelang suku kedua tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Bagi Membincangkan Hasil Kajian Analisis Beban dan Kapasiti Penyimpanan di Pasir Gudang di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Isnaraissah Munirah Majilis, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar.

Menurutnya, pemasangan PID yang mempunyai sistem amaran tepat masa itu akan memudahkan pihak JAS dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk melakukan bacaan TVOC.

“Jika bacaan TVOC tinggi kita akan hantar pengesan gas mudah alih yang dapat melihat lebih banyak perimeter gas untuk mengenal pasti apakah gas yang menunjukkan bacaan tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bee Yin berkata, pemasangan PID itu merupakan antara tujuh langkah utama yang diambil kerajaan untuk memperbaiki kawalan kualiti alam sekitar di Pasir Gudang.

Menurutnya, secara keseluruhan kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM17.7 juta untuk meningkatkan keupayaan pemantauan kualiti udara seluruh negara yang antaranya turut meliputi pemasangan PID berkenaan di Pasir Gudang.

Enam langkah utama lain yang telah diambil kerajaan untuk memperbaiki kawalan kualiti alam sekitar di Pasir Gudang termasuk suspek insiden Sungai Kim Kim yang telah dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru pada 24 Mac lalu serta perbicaraan empat orang yang disaman pada 3 Disember nanti.

Seterusnya, tinjauan yang meluas telah dijalankan ke atas industri berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang di mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) telah melaksanakan Operasi Ketuk-Ketuk di mana rondaan, tinjauan dan lawatan ke atas industri dilaksanakan bagi memastikan kesemua industri-industri di Pasir Gudang dipantau operasinya tidak kira siang atau malam.

Langkah seterusnya adalah tindakan penguatkuasaan yang dilipat gandakan di mana sebanyak 314 kompaun dikeluarkan ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan, tujuh kertas siasatan telah dibuka, lebih daripada 250 Notis Arahan telah dikeluarkan oleh JAS Johor di bawah Seksyen 37 bagi industri yang mempunyai pelepasan ke udara.

Penubuhan cawangan Pasir Gudang oleh JAS khusus untuk bertindak terus dan memendekkan masa respon bagi sebarang aduan yang diterima turut dilakukan selain Program Sekolah Angkat oleh pihak industri (PROSPAG) juga diperkenalkan.

Langkah terakhir, JAS bersama dengan ahli akademik, jabatan dan agensi teknikal serta pihak industri juga telah menjalankan Kajian Analisa Beban dan Kapasiti Tampungan bagi kawasan Pasir Gudang telah disiapkan dan dibentangkan kepada kerajaan Johor.- Bernama