Kes dadah anak: Saya tiada kenyataan tambahan

Mohamad (dua, kanan) bersama Mohd Kassim (kiri) ketika menziarahi keluarga itu.
Mohamad (dua, kanan) bersama Mohd Kassim (kiri) ketika menziarahi keluarga itu.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, enggan mengulas lanjut berhubung penahanan anaknya, Ahmad Saiful Islam, 31, yang disyaki positif dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah pusat hiburan sebelum, semalam.

Ketika ditanya media berhubung kes berkenaan, Mohamad sekadar memaklumkan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tambahan buat masa ini.

“Tidak ada kenyataan tambahan melainkan kenyataan bertulis yang saya buat itu, ” katanya pada sidang media, hari ini.

Walaupun ditanya berulang kali, Mohamad tetap bertegas agar media merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurutnya, kenyataan bertulis sebelum ini sudah memadai bagi menjawab insiden yang berlaku membabitkan anaknya itu.

Ahmad Saiful Islam bersama 101 individu ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Jalan Ampang, awal pagi semalam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Difahamkan, Ahmad Saiful Islam bersama rakan berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan sebelum ujian saringan air kencing dilakukan dan mendapati positif ganja.

Bagaimanapun, Ahmad Saiful Islam dibebaskan dengan jaminan polis pada petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan bertulis semalam, Mohamad mengesahkan penahanan anaknya itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

Mohamad turut dipetik berkata, anak beliau sama seperti anak orang lain, tertakluk kepada proses undang-undang negara.

Terdahulu, Mohamad yang juga Presiden Amanah menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kasim, 24, di rumah keluarga itu di Kampung Tebengau.

Beliau meluangkan masa hampir setengah jam bertanya khabar kepada bapa dan ibu Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid dan Asma Aziz, selain menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu.