Kes dadah anak: Guan Eng sokong Mat Sabu

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melahirkan sokongannya terhadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menyerahkan kes penahanan anaknya kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Menurutnya, tindakan Mohamad itu dilihat satu langkah tepat kerana tiada siapa yang boleh terlepas daripada undang-undang di negara ini.

Beliau memahami keadaan Mohamad ketika ini dengan menyifatkan bukan mudah untuk menjadi seorang bapa.

"Saya menyokong tindakan Mohamad yang secara terbuka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap kes anaknya itu.

“Ia langkah tepat kerana tiada siapapun di negara ini yang lebih tinggi daripada undang-undang dan Perlembagaan,” katanya kepada media.

Setiausaha Agung DAP itu menyatakan simpatinya kepada Mohamad dan keluarga selepas anak Presiden Amanah itu ditahan kerana kesalahan dadah.

"Bukan mudah untuk menjadi seorang bapa. Walaupun sukar untuk menjadi menteri, tetapi lebih sukar untuk menjadi bapa.

"Saya amat simpati dengan perasaan Mohamad dan keluarganya. Saya faham apa yang dirasai Mohamad pada ketika ini kerana anak saya juga pernah dituduh mencabul rakan sekelasnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap, semua pihak menghormati serta memberi ruang kepada keluarga Mohamad dan menunggu proses undang-undang diambil dengan sewajarnya.

Terdahulu, anak lelaki Mohamad, Ahmad Saiful Islam Mohamad, 31, ditahan polis selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan pada malam Jumaat lalu.

Dia ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu yang diadakan di premis yang terletak di Jalan Ampang.

Ketika operasi itu dijalankan, seramai 101 individu diperiksa membabitkan 46 lelaki dan 55 wanita.

Dalam serbuan itu, dua lelaki termasuk anak Mohamad ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja.