Anak kongsi pengalaman aneh bapa bertugas di kapal

Paparan Iqram tular di laman sosial.
Paparan Iqram tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak ramai mampu menggalas tugas berada di sebuah kapal atau berkerja di kapal dalam tempoh yang lama kerana memikirkan risiko dihadapi mereka di tengah laut bergelora.

Namun menurut pelayar Twitter bernama Iqram, kegigihan bapanya berada di tengah laut demi membesarkannya wajar dibanggakan.

Iqram juga berkongsi pengalaman aneh bapanya yang sempat dikongsi ketika berkerja di kapal yang pastinya menarik perhatian warganet.

"Ayah bertahun kerja atas kapal, kapal kargo, haji, banyak cerita pasal laut ku dah dengar, lagi-lagi cerita atas kapal orang pergi haji.

"Laut kata dia memang menenangkan dan menyeramkan. Orang terjun dari kapal sebab dengar kena panggil, jumpa rakan atas kapal pada hal sudah turun, ada juga jadi gila sebab lama tak nampak daratan," ciapnya.

Bukan itu sahaja, ciapnya, pengalaman bersama jemaah haji pasti sukar dilupakan.

"Masa ayah atas kapal haji, pernah jumpa lelaki yang dia sangka jemaah haji namun bukan. Seorang ustaz memberitahu apa yang ayah nampak bukan manusia sebaliknya jin Islam atau malaikat.

"Di tengah-tengah laut tiba-tiba terdengar azan berkumandang namun tidak tahu dari arah mana," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bercerita lanjut, sekiranya berlaku kematian dalam kalangan jemaah haji, bapanya pernah melihat perkara aneh iaitu ikan menyambut jenazah jemaah haji.

"Masa ada kematian, ikan sambut jenazah, berkumpul-kumpul sambut jenazah membuatkan semua insaf," ciapnya yang tular di laman sosial.

Selain itu jelasnya, kehidupan di laut tiada bezanya dengan kehidupan di daratan kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan begitulah sebaliknya.

"Laut ni macam kita atas darat, tak jaga mulut, bah menimpa. Krew cakap besar, sekali ribut macam dalam video tu datang, tiada amaran apa pun," ciapnya merujuk satu rakaman video di bebenang Twitternya.

Video berdurasi 30 saat itu mendapat 276,200 tontonan dari netizen yang rata-rata kagum dengan kebesaran ALLAH SWT.

Kata @AdDien90, "Saya pernah naik kapal laut. Bila duduk tengah-tengah laut rasa sangat kerdil, takut dan penuh tawakal. Sebab itu sebahagian ulama tafsir kata fitrah mengakui Kebesaran Tuhan terlihat ketika berada di tengah keganasan laut sebagaimana Firaun sebelum ditenggelamkan. Allahu akbar," ciapnya.