Ibu susuan kerjaya baharu di Terengganu

Hanafiah Mat
A
A

KUALA TERENGGANU - Ibu susuan bakal menjadi cabang kerjaya khusus kepada ibu-ibu yang tidak bekerja setelah kerajaan Terengganu memperkenalkan program Anak Susuan Patuh Syariah selewat-lewatnya Ogos 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, program kali pertama di Terengganu itu akan dilaksanakan bagi membantu ibu-ibu bekerja menyusu bayi mereka dalam masa yang sama membantu ibu-ibu yang tidak bekerja.

Katanya, hal itu penting memandangkan tempoh usia enam bulan pertama bayi perlu mendapatkan penyusuan eksklusif daripada air susu ibu (ASI) malah ia juga telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW.

"Ramai ibu-ibu bekerjaya yang tiada masa memberikan bayi mereka ASI. Ada yang turun dari rumah jam 7 pagi pulang jam 6 petang.

"Jadi, ini adalah berita gembira buat ibu bekerjaya dan juga wanita yang tidak bekerjaya namun mampu memberikan ASI dengan memenuhi kriteria seperti sihat tubuh badan dan telah berkahwin.

"Ibu-ibu yang memenuhi syarat yang ditetapkan akan ditempatkan di satu tempat khas untuk menyusu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Seminar Kekeluargaan Islam: Anak Susuan Patuh Syariah Peringkat Negeri 2019 di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, rekod penyusuan perlu diteliti dan disimpan dengan baik bagi mengelak berlakunya perkahwinan sesama adik-beradik susuan.

"Ini merupakan perkara pokok bagi membendung berlakunya gejala perkahwinan sesama saudara susuan ekoran salah faham berkaitan anak susuan dan ketiadaan rekod antara anak dan ibu susuan," katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan program itu akan digerakkan dengan kolaborasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Katanya, penyelidikan itu dijalankan di bawah geran penyelidikan FRGS: Pembinaan Model Pengurusan Pensijilan dan Dokumentasi Anak Susuan Patuh Syariah serta SIG Penyusuan Susu Ibu Patuh Syariah bagi membentuk kaedah persijilan dan dokumentasi anak susuan patuh syariah.

Menurutnya, projek itu akan diketuai Ketua Penyelidik iaitu Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Dr Siti Fatimah Salleh.

"Kita akan menyiapkan dahulu prosedur operasi standard (SOP) bagi projek ini sebelum memulakan pilot projek yang dijangka melibatkan antara 30 hingga 50 ibu susuan bermula tahun depan.

"Memandangkan ia adalah cabang kerjaya, apabila projek ini telah dilaksanakan kelak, ibu-ibu susuan ini akan dibayar oleh YPKT," katanya.