Hanya bincang projek kerajaan,kata Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
A
A

KUALA LUMPUR - Pertemuan beberapa ahli Parlimen UMNO dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi hanya membincangkan projek kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak mendengar ada cubaan untuk menubuhkan parti baharu sebaliknya pertemuan berkisar kepada penyaluran projek di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun beliau berkata, isu itu menimbulkan spekulasi terhadap objektif pertemuan selain menerima aduan pihak parti yang merasakan perjumpaan itu membelakangkan nasihat yang dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya dapat maklumat perjumpaan itu bagi memenuhi kehendak pengundi untuk memperoleh projek kerajaan melalui peruntukan yang disalurkan kepada ahli Parlimen.

"Namun sebarang pertemuan sebagaimana yang dicadangkan oleh ketua pembangkang hendaklah dibuat secara bersama dan mesti di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar selepas prosiding perbicaraan 47 pertuduhan jenayah melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi yang dihadapinya di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohamed Azmin jumpa Ahli Parlimen PH, BN di Putrajaya malam ini

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, beliau berharap tiada percubaan untuk bertindak dengan cara yang tidak mengikut Majlis Tertinggi dan keputusan rasmi parti.

Dalam pada itu Ahmad Zahid bersetuju jawatankuasa disiplin mengambil tindakan terhadap semua ahli Parlimen BN yang hadir dalam pertemuan tersebut.

Ini kerana katanya, pertemuan itu menimbulkan perasaan tidak senang di peringkat akar umbi dan rakyat yang kembali menyokong UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin nafi rancang pertemuan

Sementara itu bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau merancang pertemuan berkenaan.

Dipercayai mereka berada di rumah tersebut sejak jam 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada jam 11 malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Antara pemimpin yang dipercayai hadir ialah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noriani Ahmad.