X

Kindly register in order to view this article
!

Pasir Gudang kini dilengkapi alat pengukur gas automatik

Bee Yin (tengah) pada sidang media di Iskandar Puteri di sini hari ini.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 25 alat pengukur gas automatik total volatile organic compound (TVOC) iaitu Photo-Ionised Detectors (PID) dipasang di sekitar Pasir Gudang sebagai sistem amaran awal agar tindakan penguatkuasaan terhadap pencemaran udara boleh diambil segara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, daripada jumlah itu, 23 daripadanya sudah siap dipasang di sekitar Pasir Gudang dan dijangka selesai hujung bulan ini.

Katanya, langkah berkenaan menjadikan Pasir Gudang sebagai kawasan perindustrian pertama di Malaysia yang dilengkapi alat pengukur gas automatik.

"Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM 17.7 juta bagi meningkat keupayaan pemantauan kualiti udara di kawasan perindustrian seluruh negara ini terutama di Pasir Gudang.

"Pembinaan rangkaian real-time alert system yang bernilai RM 2.52 juta menerusi pemasangan TVOC dapat memberi amaran awal seterusnya penguatkuasaan dapat dilakukan," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar ( JAS) akan dilengkapkan dengan lebih banyak peralatan pemantauan seperti stesen bergerak.

"Stesen bergerak ini merangkumi Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) bernilai RM 1.1 juta, Gas Chromatography with Flame Ionization Detector (GCFID) yang bernilai RM 1.2 juta.

"Selain itu, enam alat pengukuran mudah alih gas toksik bernilai RM2.34 juta serta kemudahan-kemudahan lain," katanya.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, JAS telah menggunakan dron sebagai kaedah melakukan pemantauan yang lebih cekap dan sistematik.

"Penggunaan dron telah dibuat pada 23 dan 24 Oktober lalu di kawasan industri Tanjung Langsat yang menghasilkan pelepasan efluen ke Sungai Pelawan, Sungai Kim Kim, Sungai Kopok, Sungai Daing dan Sungai Perapat.

"Penerbangan dron juga telah dibuat pada 29 dan 30 Oktober lalu di kawasan Sungai Daing sepanjang 1.5 kilometer. Pemantauan menggunakan dron juga tertumpu pada sungai-sungai lain di sekitar Pasir Gudang," katanya.

Beliau memberitahu, lebih daripada 250 notis arahan dikeluarkan JAS Johor di bawah Seksyen 37 bagi industri yang mempunyai pelepasan ke udara.

"Sebanyak 76 kertas siasatan telah dibuka dan dilengkapkan terhadap pihak industri yang gagal mematuhi notis tersebut dan JAS sedang dalam perbincangan dengan pihak pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus