X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Mahathir lancar teknologi fenolik sawit berkelas dunia MPOB

Tun Dr Mahathir Mohamad -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan teknologi mengekstrak fenolik sawit berkelas dunia yang dibangunkan oleh ahli sains di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Teknologi itu diperkenalkan semasa Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2019 yang berlangsung di sini hari ini.

Fenolik sawit merupakan sebatian bioaktif boleh larut air yang amat berkhasiat.

Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kajian oleh MPOB membuktikan fenolik sawit memiliki pelbagai khasiat kesihatan termasuk aktiviti antioksida, antidiabetik, antihipertensi, perlindungan saraf dan antikeradangan.

“Ujian praklinikal dan klinikal mengesahkan ia amat berkhasiat dalam melindungi otak dan kesihatan jantung. Justeru, fenolik sawit digunakan secara meluas dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan, termasuk nutraseutikal, kosmeseutikal serta industri makanan dan minuman kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, teknologi tersebut telah dilesenkan kepada Phenolaeis Sdn Bhd yang mempunyai hubungan kukuh dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT), rakan kongsi kerjasama MPOB.

Pada Disember 2017, Phenolaeis menjalinkan perkongsian dengan dua syarikat Mexico, iaitu Industrias AlEn dan Agroindustrias Unidas de México SA/ECOM Agroindustrial Corp untuk membina kilang pengeluaran fenolik sawit komersial pertama di dunia, berasaskan teknologi Malaysia sepenuhnya, di Palenque, Chiapas, Mexico.

Ahmad Parveez berkata pelaburan modal asing yang besar dalam usaha pengkomersialan ini menunjukkan keyakinan terhadap modal intelek dan kapasiti inovasi Malaysia, serta berperanan sebagai model pengkomersialan teknologi Malaysia dalam perniagaan antarabangsa.

Kumpulan pertama produk komersial itu, di bawah cap dagangan Palm Fruit Bioactive ComplexTM (PFBc), direalisasikan sebagai bahan pukal di Amerika Syarikat (AS) pada Jun 2019 dan kini boleh didapati untuk pengedaran di seluruh dunia.

Amare Global, syarikat kesejahteraan mental terkemuka di AS, melancarkan produk pertama yang diformulasikan dengan PFBc di bawah cap dagangan MentaHeartTM, di California pada September 2019.

Beberapa syarikat antarabangsa terkenal termasuk Xymogen, Shaklee dan Givaudan telah menandatangani surat hasrat untuk memasarkan serta mengedarkan produk berkenaan dan pada masa sama syarikat Malaysia berpeluang menjadi sebahagian daripada usaha pengkomersialan ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus