Tiga lelaki ditahan, polis rampas dadah RM226,600

No Image Caption
A
A
A

MUAR - Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah bernilai RM226,600 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Parit Bakar, Darat di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, serbuan di rumah berkenaan pada jam 3 petang itu dijalankan hasil maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau berkata, tiga-tiga suspek berumur antara 43 hingga 70 tahun dan polis menemui pelbagai jenis dadah disyaki heroin (240 gram) syabu (3,135 gram), ketamin (870 gram), pil eramin (890 biji) dan pil ekstasi (60 biji) semasa serbuan itu.

"Siasatan lanjut juga mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 November ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: