Ejen hartanah didakwa tipu pelaburan RM200,000

Tertuduh cuba mengelak apabila gambarnya cuba dirakam lensa kamera wartawan.
Tertuduh cuba mengelak apabila gambarnya cuba dirakam lensa kamera wartawan.
A
A
A

KLANG - Seorang ejen hartanah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu pelaburan hartanah berjumlah RM200,000 pada April lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret, Rozlizi Sulaiman

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Ng Swee Bee, 45, dengan sengaja telah memperdaya dalam penipuan pelaburan hartanah menyebabkan mangsa telah menyerahkan sekeping cek bernilai RM200,000 kepadanya pada 11 April lalu di sebuah firma di jalan Goh Hock Huat, Klang Utara.

Jika sabit kesalahan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Asmadi yang menawarkan wang jaminan RM20,000.

Bagaimanapun tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes serta serahan dokumen turut ditetapkan pada 22 Januari depan.

Artikel Berkaitan: