Ulama perlu tegas nyatakan pendirian: Mujahid

Mujahid (dua dari kiri) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 sambil diperhatikan oleh Nik Omar di MHCC KLIA, Sepang hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Mujahid (dua dari kiri) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 sambil diperhatikan oleh Nik Omar di MHCC KLIA, Sepang hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SEPANG - Ulama di Asia Tenggara perlu tegas dalam menyatakan pendirian tentang sesuatu perkara selagi tidak bercanggah dengan konsep maqasid syariah sekiranya ingin menjadi model kepada dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, suara dan pandangan mereka selaku individu yang berada di kelas tersendiri lebih dihormati.

Menurutnya, kesepakatan yang kukuh dalam kalangan ulama dan umara di rantau ini juga secara tidak langsung dapat membantu Islam menangani Islamophobia.

"Kerana itulah kita berpotensi jadi model kepada dunia hari ini. Saya meletakkan harapan kepada ulama, kalau letak harapan pada orang politik macam saya, orang fikir dia cakap kosong untuk kekal nanti.

"Tapi kalau anda para ulama menyatakan, anda memahami realiti ini lalu anda dengan tegas menyatakannya saya rasa manusia mahu mendengarkannya daripada anda (ulama).

"Maka itu perlunya gabungan dengan ulama dan umarah. Kami membawa dasar mempertahankan, anda memahami dan menyakini selagi mana ia perkara baik, fastabiqul khairat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Movenpick Hotel and Convention Centre (MHCC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Ab Aziz.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada sidang medianya, Mujahid turut mengingatkan golongan ulama supaya tidak menggunakan agama untuk kepentingan pihak tertentu sehingga boleh menjejaskan imej Islam secara keseluruhannya.

"Ada pemimpin menggunakan nama kaum dan agama untuk wajarkan kejahatan malah ada ulama yang mewajarkan kejahatan menggunakan al-Quran.

"Ulama perlu jujur apabila bercakap serta bersedia untuk kritik dan dikritik," katanya.

Beliau berkata, situasi yang boleh menjejaskan imej Islam itu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi seluruh dunia termasuk rantau Asia.