X

Kindly register in order to view this article
!

Shafie mahu isu tuntutan royalti petroleum selesai tahun depan

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu supaya isu tuntutan kerajaan negeri terhadap royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan diselesaikan tahun depan.

Shafie berkata, beliau tidak mahu isu tuntutan tersebut berlarutan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang dan sekali lagi dimasukkan dalam manifesto pilihan raya.

"Seboleh-bolehnya kita atasi tahun depan, itu pendirian kita (kerajaan negeri) dan saya tidak mahu tunggu lama kerana kewangan kita seperti yang bentangkan Belanjawan 2020 menurun ada sebab," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Masidi Manjun (Karanaan-Bersatu) yang mahu kerajaan negeri memberikan tempoh masa dalam tuntutan royalti minyak daripada kerajaan Persekutuan.

Mohd Shafie turut menyangkal dakwaan kononnya perjuangan kerajaan negeri yang beliau terajui terhadap tuntutan royalti itu tiada kejayaan kerana daripada 21 tuntutan yang dibuat lapan daripadanya telah dipersetujui.

Katanya, salah satu adalah pemberian khas geran persekutuan daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta pada Belanjawan 2020 kerajaan Persekutuan.

"Ini tidak pernah dilakukan sejak 1970-an dan tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini menyaksikan kenaikan 100 peratus," katanya.

Menurutnya, ketika ini perkara yang dibangkitkan adalah mengenai formula yang digunakan dalam kenaikan pemberian khas ini yang akan digandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dalam tempoh lima tahun.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Dr Jeffery Kitingan (STAR-Tambunan) yang bertanyakan pencapaian Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 pusat tentang hak-hak Sabah, Mohd Shafie berkata, dalam mesyuarat jawatankuasa itu semalam, beberapa pendekatan telah kerajaan negeri kemukakan.

Katanya, antara yang dicadangkan adalah Sabah ada saham dalam Petronas iaitu menukar royalti 20 peratus kepada bentuk saham.

"Ini cadangan kita bukan hanya dividen tetapi dapat cukai. Ini bererti kita juga pemilik. Ini mengambil masa walaupun saya tahu kita (kerajaan negeri) boleh ambil tindakan perundangan tetapi sampai bila boleh kita buat.

"Bukan hanya petroluem dari Petronas kita usahakan tetapi produk petroleum yang ada dan perlu lihat kerangka mencari hasil kepada kerajaan negeri Sabah," katanya.

Ketua Menteri berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendengar tuntutan royalti petroleum Sabah dan membentuk Jawatankuasa Khas Kabinet untuk memantau kemajuan keputusan itu.

"Sekarang jawatankuasa induk ini di peringkat Kabinet ini sudah tamat semalam dan sekarang ada majlis khas yang pastikan apa yang diputuskan dapat dijayakan.

"Bagi Sabah, majlis khas ini penting bagi memastikan apa yang diputuskan dalam jawatankuasa sebelum ini tidak terbantut," katanya.

Beliau berkata, Dr Mahathir juga mempengerusikan jawatankuasa induk ini yang menunjukkan komitmen beliau memastikan apa yang diputuskan mengenai tuntutan Sabah terhadap royalti petroleum menjadi kenyataan.

Katanya, majlis khas ini ditubuhkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat pada bulan depan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!