Jangan tokok tambah fakta PRK Tanjung Piai

Jeck Seng dijulang oleh penyokong-penyokong BN yang gembira dengan kemenangan besar pada PRK Tanjung Piai. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Jeck Seng dijulang oleh penyokong-penyokong BN yang gembira dengan kemenangan besar pada PRK Tanjung Piai. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PILIHAN raya kecil Tanjung Piai sudah selesai. Banyak analisis yang dibuat mengenainya termasuk dalam akhbar Sinar Harian sendiri.

Suka saya memberikan beberapa komen balas kepada tulisan ini yang bagi saya kadang-kadang berlebihan. Ada tiga perkara yang saya ingin ulas dalam tulisan ringkas ini.

1. Ada yang mendakwa Tanjung Piai adalah referendum kepada kerajaan Malaysia dan ia membayangkan sentimen keseluruhan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini.

Bagi saya ia tidak tepat. Ini kerana Tanjung Piai adalah Tanjung Piai dan bukan mewakili sentimen seluruh negara.

Ini dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Ketika calon-calon PH di Kelantan dan Terengganu hilang wang pertaruhan, calon-calon PH di tempat lain menang dengan majoriti besar.

Pada PRU14 juga, calon-calon Pas di Johor hilang wang pertaruhan tetapi calon Pas di Kelantan dan Terengganu menang.

Jadi, keputusan PRK Tanjung Piai tidak mewakili sentimen rakyat seluruh negara sepenuhnya.

Jika pilihan raya umum diadakan sekarang tidak bermakna kerajaan PH akan jatuh sebagaimana kalahnya calon PH di Tanjong Piai.

Artikel Berkaitan:

Ada banyak faktor-faktor lain yang perlu diambil kira dalam menentukan sesuatu keputusan pilihan raya berdasarkan lokaliti dan sentimen serta komposisi kaum yang ada dalam sesuatu kawasan.

2. Dalam tulisan itu juga, penulis mendakwa calon PH hanya mendapat tidak sampai 5 peratus undi Melayu sahaja. Ia membayangkan penolakan pengundi Melayu kepada PH.

Bagi saya, ia bukan satu pengiraan matematik yang betul. Jika pengundi Cina dikatakan memberi 30 peratus undi mereka kepada calon PH dalam PRK ini, maka pengundi Melayu akan memberikan 25 peratus undi mereka kepada PH, bukan 5 peratus sebagaimana yang dinyatakan.

Ia berdasarkan komposisi kaum dalam pilihan raya ini adalah 56.8 peratus Melayu manakala Cina 41.6 peratus.

Pengundi Melayu hanya akan memberikan 5 peratus undi mereka kepada calon PH jika pengundi Cina memberikan 57 peratus undi mereka kepada calon PH.

3. Bagi saya antara punca kekalahan besar PH di Tanjung Piai adalah masalah taktikal dalam menentukan calon PRK kali ini di samping faktor lain.

PH telah memilih Ketua Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon.

Tetapi apabila kempen dibuat, jasa penyandang kerusi sebelum ini, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang selalu disebut-sebut.

Tidak ada kaitan rapat antara calon PH dengan bekas wakil rakyat yang sudah meninggal dunia itu.

Kalau mengikut trek rekod PRK yang wakil rakyatnya mempunyai trek rekod yang baik, biasanya waris bekas wakil rakyat tersebut akan dipilih sebagai calon.

BN, misalnya, telah memilih isteri kepada bekas wakil rakyat Kuala Kangsar sebagai calon dalam pilihan raya kawasan itu sebelum ini dan menang.

Mungkin jika ibu kepada Dr Farid dipilih, kebarangkalian untuk PH menang akan lebih besar.

Antara nama yang disebut-sebut dalam senarai pendek calon PH ialah ibu kepada Dr Farid iaitu Norma Mohamed, 67, yang juga Ketua Wanita Bersatu di Tanjung Piai.