Anak syarikat bawah KPLB perlu teroka peluang perniagaan baharu

Rina (dua dari kanan) menerima replika cek Akaun Amanah BAKTIDESA dari Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad (kiri) pada Majlis Anugerah Syarikat Terbaik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2018 di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
Rina (dua dari kanan) menerima replika cek Akaun Amanah BAKTIDESA dari Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad (kiri) pada Majlis Anugerah Syarikat Terbaik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2018 di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak syarikat milik agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) disaran meneroka peluang perniagaan baharu yang ditawarkan dalam pasaran terbuka untuk berkembang maju.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah itu juga bagi mengurangkan risiko sekiranya pihak agensi tidak lagi meneruskan program-program yang telah diusahakan terdahulu.

“Dengan jaringan perhubungan yang diperluaskan semakin banyak usaha perniagaan yang boleh diraih daripada pasaran terbuka.

“Syarikat-syarikat milik agensi yang mempunyai rekod yang baik, mampu untuk bersaing dengan pemain-pemain lain dalam pasaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Syarikat Terbaik KPLB Tahun 2018 di sini malam ini.

Katanya, menjadi hasrat kementerian untuk melihat syarikat-syarikat berkenaan menjadi pemain yang disegani bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat serantau dan global.

Rina berkata, sekiranya hasrat itu tercapai, maka peluang perniagaan dan pekerjaan untuk usahawan luar bandar menerusi kerjasama dengan anak syarikat milik agensi KPLB akan semakin bertambah.

Pada majlis itu, Kolej Poly-Tech Mara Sdn Bhd diumum sebagai pemenang Anugerah Syarikat KPLB Tahun 2018 sementara GiatMara Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Perwira Sdn Bhd masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Ketiga-tiga syarikat itu merupakan antara 46 syarikat di bawah KPLB yang telah dinilai kementerian bagi tahun 2018.

Artikel Berkaitan:

Syarikat yang dinilai merupakan syarikat subsidiari dan sub subsidiari KPLB di mana pegangan ekuiti oleh agensi atau syarikat melebihi 50 peratus.

Majlis malam ini turut menyaksikan acara penyerahan mock-cheque sumbangan anak-anak syarikat milikan agensi di bawah KPLB dan syarikat luar kepada Akaun Amanah BAKTIDESA (AAB) yang akan disalurkan untuk tujuan pendidikan, bantuan bencana serta program khidmat sosial pelajar institut pengajian tinggi di kawasan luar bandar. - Bernama