Belajar daripada kekalahan politik

A
A
A

KERAJAAN yang memimpin Malaysia baharu menerima tamparan hebat pada Sabtu lalu. Landskap politik negara berubah sekelip mata dalam tempoh tidak sampai dua tahun.

Kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Johor menjadi siri kekalahan baharu dalam PRK buat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Lebih menarik, calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK itu dengan majoriti yang lebih besar berbanding dua kemenangan yang pernah diperoleh beliau pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13 sebelum ini.

Kali ini Jeck Seng memperoleh majoriti sebanyak 15,086 undi berbanding 12,371 undi pada PRU12 dan 5,457 undi pada PRU13.

Kemenangan Jeck Seng itu juga membolehkan MCA mendapat nyawa baharu dari tanah paling hujung benua Asia.

Kekalahan PH itu juga menyaksikan banyak pihak mula berkira-kira. Dari mana datangnya jumlah majoriti yang tinggi itu, pengundi mana yang mula beralih arah dan apakah sebab musabab ramai pengundi Tanjung Piai kembali menyokong BN.

Beberapa bacaan politik dari Tanjung Piai mendapati terdapat penurunan drastik sokongan pengundi kepada PH baik daripada orang Melayu mahupun pengundi Cina.

Persoalannya, apakah mesej yang mahu dihantar oleh pengundi ini?

Artikel Berkaitan:

Ekoran kekalahan dalam ‘pesta’ demokrasi minggu lalu, PH perlu bertenang dan membuat bedah siasat. Pimpinan PH perlu menilai kembali kenapa pengundi Tanjung Piai menggunakan ‘kuasa’ undi mereka untuk memenangkan calon BN.

Menuding jari menyalahkan sesama parti komponen, bersikap mendabik dada kononnya kehilangan satu Parlimen tidak membawa apa-apa makna, dibimbangi akan membuatkan rakyat semakin menjauhi PH.

Sepatutnya, PH menerima kekalahan itu dengan lapang dada dan rasa insaf. Untuk kembali bangkit, PH perlu menilai setiap satu sebab musabab yang dikeluhkan rakyat.

Siapa pun tidak dapat menafikan PH memang telah mencipta legasi dan untuk mengekalkan legasi itu, menteri Kabinet dan pemimpin parti perlu mencari formula terbaik bagi kembali menawan hati rakyat.