X

Kindly register in order to view this article
!

Proses ganja dalam 'kelongsong peluru'

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz menunjukkan alat baharu yang digunakan sindiket penghasilan dan pengedaran dadah jenis ganja.
A
A

IPOH - Polis berjaya membongkar modus operandi baharu digunakan sindiket penghasilan dan pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini yang menggunakan alat pengisar mirip kelongsong peluru.

Alat berkenaan yang mempunyai dua bahagian iaitu kisar dan tapis itu dikatakan berupaya menghasilkan serbuk dadah daripada ceraian daun yang dikeringkan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, taktik itu dikesan hasil tertangkapnya tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni di sini semalam.

Menurutnya, serbuan sekitar jam 7.45 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu dilakukan selepas mendapat maklumat awam berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kawasan itu.

"Selain alat berkenaan, polis turut menemui beberapa peralatan lain digunakan bagi tujuan sama antaranya alat penimbang, gunting besi dan bungkusan plastik lut sinar.

"Kita percaya alat ini dijadikan modus operandi baharu dari segi pembuatan dan penghasilan dadah.

"Ia bagi mengelirukan polis kerana dari segi bentuk alat itu yang seakan kapsul, sesiapa pun sukar menyedari di dalamnya terdapat kandungan dadah," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Alat pengisar mirip kelonsong peluru digunakan oleh sindiket dadah bagi mengelirukan polis.
Alat pengisar mirip kelonsong peluru digunakan oleh sindiket dadah bagi mengelirukan polis.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di rumah teres satu tingkat itu kemudiannya menemui dadah jenis ceraian daun-daun kering dipercayai ganja seberat lebih 1.5 kilogram.

Katanya, dadah dianggarkan bernilai RM5,500 itu dipercayai dalam proses untuk diedarkan di sekitar Ipoh.

"Daripada soal siasat dijalankan, ketiga-tiga suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah melalui seorang lelaki dipanggil 'botak' dari Gopeng.

"Siasatan lanjut kini diteruskan termasuk ke atas rumah yang digunakan kerana berdasarkan rekod, rumah tiga bilik itu milik seorang wanita," katanya.

A Asmadi berkata, tiga lelaki yang ditangkap masing-masing berusia 30, 31 dan 35 tahun itu akan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, semakan mendapati, ketiga-tiga mereka yang bekerja sendiri dan mekanik itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

"Ujian air kencing dijalankan juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis ganja," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!