PRK Cameron Highlands: PKR Pahang ‘buka langkah’

Xavier hadir menyempurnakan pelancaran jentera Dun Jelai untuk hadapi PRK Cameron Highlands.
A
A

LIPIS - PKR Pahang melancarkan jentera Dun Jelai bagi berdepan PRK Cameron Highlands yang dijadualkan, 26 Januari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar di Dataran Sungai Koyan 1 di sini, hari ini.

Xavier berkata, kemenangan PH di kerusi parlimen Cameron Highlands penting bagi parti gabungan itu yang kini sudah menerajui kerajaan.

Menurutnya, adalah mustahak wakil rakyat di kawasan itu diwakili wakil kerajaan untuk membantu masyarakat di Cameron Highlands.

“PH perlu mengambil peluang merampas kerusi tersebut agar bilangan ahli parlimen mewakili kerajaan di Dewan Rakyat bertambah.

“Ia penting dalam usaha mengukuh dan menstabilkan kerajaan hari ini,” katanya dalam ucapan perasmian.

Majlis dihadiri, bakal calon dari DAP, M Manogaran, Setiausaha PH Pahang, Kamarzaman Mohamad Yunus, Ketua Cabang Cameron Highlands, Tan Wei Wun, Ketua Cabang Lipis, Rizal Jamin dan Ketua Cabang Kuala Krau, Hafiz Harun.

Turut hadir, Naib Ketua Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad, Naib Ketua Cabang Bera, P Saravanan, Ketua Wanita PKR Paya Besar, Haslindalina Hashim dan wakil dari Bersatu.

Seperti diumumkan, PH meletakkan semula bekas calonnya dari DAP, M Manogaran untuk bertanding pada PRK itu.

Sebelum ini Pengerusi MPN Pahang, Fuziah Salleh mengumumkan PKR Pahang memberi tanggungjawab kepada Ketua Cabang PKR Cameron Highlands, Tan Wei Wun dan Ketua Cabang PKR Lipis, Rizal Jamin bagi menjalankan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini mengisytiharkan keputusan calon BN, Datuk C Sivarraajh pada PRU14 dibatalkan ekoran wujud amalan rasuah.