Kebakaran di LTSM: Tiga mangsa terperangkap terselamat

Pasukan penyelamat dan kesihatan memberikan bantuan kecemasan.
Pasukan penyelamat dan kesihatan memberikan bantuan kecemasan.
A
A
A

KUALA NERUS - Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini gempar apabila tiga 'mangsa' terperangkap dalam kebakaran di balai ketibaan antarabangsa pagi tadi.

Ketiga-tiganya bagaimanapun terselamat dengan tindakan pantas oleh Airport Fire Rescue Service (AFRS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi pemadaman dan menyelamat itu.

'Situasi cemas' berlangsung selama sejam itu sebenarnya hanya Latihan Pengungsian Bangunan Terminal LTSM, melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan pejabat kesihatan.

Turut terlibat, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan semua penyewa di LTSM.

'Mangsa' yang terperangkap berjaya diselamatkan.
'Mangsa' yang terperangkap berjaya diselamatkan.

Pengurus Malaysia Airport Berhad, Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Che Sulaiman Che Pa berkata, latihan itu adalah acara tahunan bagi merancang dan melaksanakan latihan kecemasan.

“Apa yang paling penting adalah bagi memastikan keselamatan pekerja dan penghuni di dalam bangunan terminal apabila berlakunya sesuatu kecemasan.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengharapkan latihan sebegini dapat meningkatkan kesedaran pengguna dan warga kerja lapangan terbang terhadap bahaya kebakaran. Ia juga bagi memberi pendedahan tentang kepentingan pasukan ‘Airport Emergency Response Team’ (AERT) di lapangan terbang,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Jelas Che Sulaiman, latihan pengungsian berkenaan membolehkan pihaknya memastikan semua peralatan pencegahan kebakaran dan peralatan kecemasan berfungsi dengan baik.

Katanya, ia juga dapat memperbaiki kelemahan agar keberkesanan operasi menyelamat dapat dipertingkatkan.

“Selain latihan pengungsian bangunan, Malaysia Airport Berhad juga bertanggungjawab dalam menjalankan latihan kemalangan pesawat serta lain-lain bentuk kecemasan (partial exercise).

“Latihan Table Top (TTX) dan Latihan Kemalangan Pesawat (Full Scale Exercise, FSX) masing-masing telah diadakan pada 21 Ogos dan 27 Ogos lalu melibatkan semua agensi yang berkaitan,” katanya.

Mereka yang terlibat berhimpun di kawasan yang selamat.
Mereka yang terlibat berhimpun di kawasan yang selamat.