Tidak boleh guna ruang udara Pasir Gudang

Saifuddin mengangkat bendera sebagai simbolik perasmian peserta Ultron Kuantan New Year Ride & Run 2019 di sini, hari ini.
Saifuddin mengangkat bendera sebagai simbolik perasmian peserta Ultron Kuantan New Year Ride & Run 2019 di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Malaysia konsisten dan berpegang teguh dengan pendirian bahawa Singapura tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia di Pasir Gudang, Johor untuk pendaratan kapal terbang di Lapangan Terbang Selatar, Singapura.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu akan ditegaskan delegasi Malaysia diketuainya dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan pada Selasa depan.

“Kita konsisten dan akan tetap berpegang dengan cadangan jika pesawat ingin mendarat di Seletar mereka tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia.

“Diharapkan pertemuan pada 8 Januari itu akan membolehkan kita mencapai persetujuan dengan perkara perlu diselesaikan terhadap isu Seletar,” katanya dalam sidang media ketika ditemui selepas melepaskan peserta Ultron Kuantan New Year Ride & Run 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia membantah tindakan Singapura untuk melaksanakan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Selatar berikutan langkah tersebut akan memberi impak besar kepada pembangunan Pasir Gudang kerana wujud sekatan ketinggian struktur selain meningkatkan risiko terhadap Pelabuhan Pasir Gudang.

Susulan itu, Malaysia akan mengemukakan isu pencerobohan ruang udara Malaysia untuk dibincangkan dalam pertemuan wakil dua negara itu, Selasa depan.

Awal bulan lalu, Malaysia mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata, laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang, susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi, selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Malaysia turut mengisytiharkan pewujudan Kawasan Larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa 1 Januari lalu, dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.