X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis rampas 1.6 tan produk seludup

Anggota Maqis membuat pemeriksaan terhadap sayur-sayuran yang dibawa masuk di ICQS Rantau Panjang.
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas 1.6 tan produk pertanian, perikanan dan haiwan dipercayai diseludup dari negara jiran hari ini.

Pengarah Maqis negeri, Mohd Azam Yahya berkata, dalam operasi jam 6 pagi itu, pihaknya merampas 1.4 tan produk tumbuhan merangkumi sayur-sayuran dan buah segar.

"Bukan itu sahaja, kita turut merampas 200kg produk hasilan haiwan seperti karkas ayam, tulang dan daging lembu menerusi Operasi Pematuhan Import Pertanian di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

"Kesemua barangan ini dibawa masuk dari negara jiran tanpa mempunyai sebarang dokumen seperti permit import daripada Maqis, sijil kesihatan dan fitosanitari seperti disyaratkan kerajaan," katanya.

Anggota Maqis melakukan pemeriksaan terhadap lebih 200 buah kenderaan di ICQS Rantau Panjang.
Anggota Maqis melakukan pemeriksaan terhadap lebih 200 buah kenderaan di ICQS Rantau Panjang.

Menurutnya, seramai 15 orang anggota penguat kuasa Maqis Kelantan melakukan pemeriksaan ke atas lebih 200 buah kenderaan di ICQS Rantau Panjang dalam operasi berkenaan.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah adalah satu kesalahan di sisi perundangan negara.

"Individu yang melakukan kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama,” katanya.

Mohd Azam berkata, Maqis Kelantan sentiasa melakukan pemantauan dan memeriksa di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Katanya, sesi penerangan dan kesedaran turut diberikan bagi memastikan orang awam mengetahui dengan jelas berhubung perkara berkenaan.