Bimbang kedai arak meningkat di Perak

Saarani (duduk, tengah) menjelaskan mengenai isu lesen kedai arak ketika sidang media di sini hari ini.
Saarani (duduk, tengah) menjelaskan mengenai isu lesen kedai arak ketika sidang media di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Hasrat kerajaan Perak meningkatkan pendapatan dalam Belanjawan Negeri 2020 melalui pungutan hasil bukan cukai termasuk bayaran lesen billiard dan lesen premis minuman keras dibimbangi memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan dilihat terpaksa mencari pendapatan melalui pungutan hasil bukan cukai selepas unjuran hasil cukai mengalami penurunan.

Katanya, kebergantungan pendapatan kerajaan terhadap hasil bukan cukai itu pasti membawa kepada pertambahan kelulusan lesen billiard dan premis minuman keras .

"Setahu saya memang sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, kedai-kedai billiard dan arak bertambah serta mula memungut hasil daripadanya dan tahun depan dijangka bertambah. Maka akan lebih banyak premis minuman keras akan diluluskan.

"Kesannya tidak baik kepada rakyat di Perak khususnya. Arak ini bukan elok, bukan Islam pun tahu tak elok," katanya kepada pemberita selepas sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saarani berkata, selain lesen billiard dan kedai arak, hasil bukan cukai turut dipungut melalui bayaran lesen perikanan dan lesen perahu.

Menurutnya, persoalan yang timbul bagaimana cukai tersebut dipungut sama ada melalui pertambahan jumlah lesen atau kadar bayaran lesen-lesen tersebut dinaikkan.

"Jika kadar lesen perikanan dan lesen perahu dinaikkan maka golongan nelayan akan terbeban dengan tindakan itu.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan seharusnya mencari alternatif lain dalam meningkatkan hasil seperti menguatkuasakan Enakmen Persisiran Pantai 2017," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Perak seharusnya memanfaatkan enakmen itu yang mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM60 juta hingga RM100 juta setahun.

Katanya, bagaimanapun selepas kerajaan Perak ditadbir Pakatan Harapan (PH), enakmen tersebut tidak dikuatkuasakan.

Mengenai keseluruhan Belanjawan Negeri 2020, Saarani berkata, beliau melihat ia sebagai belanjawan yang tidak ada harapan.

Katanya, rakyat tidak harus tertipu dengan belanjawan yang dikemukakan kerajaan kerana kebanyakan pemberian peruntukan itu sudah dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sebagai contoh pemberian kotak makanan sebanyak 72,000 kotak berbanding ketika zaman BN yang memperuntukkan 200,000 kotak makanan.

Beliau berkata, pemberian kotak makanan bukan penyelesaian masalah utama rakyat sebaliknya isu-isu kenaikan pelbagai kos perlu diberikan perhatian sewajarnya.