Kerajaan laksana semak dan imbang mencukupi elak kes 1MDB berlaku lagi

Kadir Jasin
Kadir Jasin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melaksanakan semak dan imbang yang mencukupi serta pembaharuan bagi memastikan kes seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan berlaku lagi.

Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, pembaharuan akan melindungi negara di bawah mana-mana kerajaan dan memastikan mereka tidak akan dapat menubuhkan satu lagi 1MDB.

"Walaupun sekiranya kerajaan ini tidak lagi mentadbir negara dalam pilihan raya yang akan datang, saya berharap dan saya fikir anda perlu membuat pembaharuan yang tidak boleh diubah.

"Jadi, itulah apa yang kerajaan telah lakukan," katanya semasa sesi perbincangan panel pada Majlis Konvensyen Tadbir Urus Majlis Pelabur Institusi Malaysia (IIC) - Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) 2019, di sini hari ini.

Selain itu, Kadir berkata, langkah-langkah pembetulan juga telah diambil bagi memulihkan semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak diuruskan dengan baik.

"Terdapat GLC yang sangat baik dan terdapat juga beberapa GLC yang tidak diuruskan dengan baik. Kita melihat satu dua kes iaitu agensi dan bukannya syarikat di mana tindakan undang-undang diambil ke atas pengerusi, ahli lembaga dan pengurusan kanan.

“Saya fikir ini akan membawa mesej mendalam kepada sektor korporat, terutamanya GLC bahawa kerajaan tidak akan bertoleransi dengan sebarang perkara yang tidak betul dalam pengurusan syarikat-syarikat ini," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: