Kanser payudara, sekviks, usus tertinggi kalangan wanita Sabah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiga kanser tertinggi dalam kalangan wanita di Sabah adalah payudara, pangkal rahim dan usus.

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif berkata, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan di Sabah dari 2011 hingga 2015, seramai 743 wanita meninggal dunia disebabkan kanser di hospital.

"Bilangan kematian yang tertinggi terdiri daripada kes kanser payudara sebanyak 22.61 peratus, kanser paru-paru dan salur pernafasan (18.57 peratus) dan kanser pangkal rahim (10.09 peratus)," katanya ketika menjawab soalan Tan Lee Fat (DAP-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Lee Fat bertanyakan peranan kerajaan dalam menyediakan program kesihatan dan langkah pencegahan terhadap penyakit barah.

Menurutnya, pelbagai kempen kesihatan dan program saringan untuk ketiga-tiga jenis kanser itu ada ditawarkan di klinik kerajaan di negeri ini.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, dalam memperkenalkan teknologi penanaman agroponik di negeri ini, Jabatan Pertanian menyediakan infrastruktur dan kemudahan teknologi di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Putatan dan Mesilou Kundasang bermula tahun lalu.

"Keutamaan adalah kepada belia dan siswazah di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) yang bertanyakan jumlah petani mengusahakan tanaman agroponik di Sabah setakat ini.

Menurutnya, antara usaha lain kerajaan untuk membantu serta mempertingkat jumlah pengusaha akuaponik adalah dengan memperkenalkan sistem akuaponik kepada pengusaha akuakultur sedia ada sebagai satu sistem ternakan mampan dan mesra alam.

Artikel Berkaitan:

Norazlinah berkata, terdapat 25 pengusaha melaksanakan tanaman agroponik secara berterusan di negeri ini dan pasaran untuk tanaman itu masih rendah disebabkan harga yang lebih tinggi berbanding hasil penanaman secara komersial. - Bernama