10 kontena daging kerbau dari India dirampas

Maqis Pulau Pinang merampas 10 kontena daging kerbau sejuk beku dari India di NBCT.
Maqis Pulau Pinang merampas 10 kontena daging kerbau sejuk beku dari India di NBCT.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 10 kontena yang membawa daging kerbau sejuk beku dari India dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini.

Pengarahnya, Zarina Ramli berkata, kesemua kontena itu ditahan sepanjang tempoh 22 Oktober hingga 14 November lalu kerana cuba membawa masuk bahan mentah itu tanpa mematuhi syarat permit import yang ditetapkan Maqis.

Menurutnya, 10 kontena tersebut mengandungi 13,991 kotak daging kerbau sejuk beku dengan berat anggaran 279,960 kilogram (kg) bernilai RM3.5 juta.

"Hasil pemeriksaan mendapati daging sejuk beku itu juga memaparkan logo halal pada pembungkus (dalam dan luar) berbeza daripada yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kita telah mengeluarkan kompaun terhadap syarikat tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya. Selain itu, kita juga memberi peringatan kepada individu tersebut atas kesalahan mengimport tanpa mematuhi syarat import yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Daging kerbau sejuk beku yang memaparkan logo halal tidak diiktiraf Jakim.
Daging kerbau sejuk beku yang memaparkan logo halal tidak diiktiraf Jakim.

Zarina berkata, tindakan mengimport daging kerbau tidak mematuhi syarat permit import Maqis merupakan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

'Ia juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2) akta sama dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Maqis sentiasa mengambil langkah lebih serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.

Zarina berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.