Maqis rampas produk babi dari loji tidak sah

Sebahagian daripada produk babi yang dirampas Maqis Selangor dianggarkan bernilai lebih RM412,500. - Foto ihsan Maqis Selangor
Sebahagian daripada produk babi yang dirampas Maqis Selangor dianggarkan bernilai lebih RM412,500. - Foto ihsan Maqis Selangor
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya menggagalkan cubaan mengimport produk babi bernilai RM412,560.63 dalam satu operasi yang dijalankan di Pintu Masuk Pelabuhan Klang Barat di sini pada 6 November lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alamin berkata, dalam operasi kira-kira jam 11 pagi itu, pihaknya merampas produk babi seberat 7,952.51 kilogram yang dikenal pasti dibawa dari loji penyembelihan yang tidak diiktiraf dari Amerika Syarikat ke negara ini.

Beliau berkata, produk babi yang diimport dari loji penyembelihan yang tidak diiktiraf merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Hanya produk babi yang diimport dari loji yang sah saja yang dibenarkan masuk ke Malaysia bagi memastikan keselamatan makanan dan industri di dalam negara lebih terjamin.

"Maqis amat teliti dalam menjalankan pemeriksaan bagi memastikan setiap kemasukan dagangan ke dalam Malaysia adalah selamat dan berkualiti selain biosekuriti makanan dikawal dengan ketat," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, kesemua produk babi itu disita pihaknya dan akan diteruskan dengan prosedur kompaun.

Artikel Berkaitan: