Vaksin kucing elak dijangkiti rabies

Dr Quaza Nizamuddin (tiga dari kiri) melihat kucing yang dipamerkan sempena Hari Rabies Sedunia peringkat kebangsaan di Seremban Prima Mall semalam.
Dr Quaza Nizamuddin (tiga dari kiri) melihat kucing yang dipamerkan sempena Hari Rabies Sedunia peringkat kebangsaan di Seremban Prima Mall semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Pemilik kucing di Sarawak digalakkan untuk memberikan vaksin kepada haiwan mereka bagi mengelakkan daripada dijangkiti rabies atau dikenali sebagai penyakit anjing gila.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata selain anjing, kucing juga perlu diberi perhatian bagi memastikan haiwan tersebut tidak dijangkiti.

Katanya, punca utama rabies ialah gigitan anjing, justeru kucing yang tinggal serumah dengan anjing perlu dipantau.

“Di Sarawak kita ada kes di mana kucing juga positif rabies. Kalau di rumah itu ada kucing dan anjing, mungkin kucing itu perlu divaksin kerana ada kes-kes positif terhadap kucing, tetapi bilangan yang divaksin adalah rendah dan kebanyakan yang terima vaksin adalah anjing.

“Anjing merupakan punca utama kepada merebaknya penyakit rabies ini, hampir 95 peratus puncanya datang daripada gigitan anjing, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019, di Seremban Prima Mall di sini semalam.

Dr Quaza Nizamuddin (tengah) bersama pemenang pertandingan mewarna dan kucing tercantik yang dianjurkan sempena Hari Rabies Sedunia semalam.
Dr Quaza Nizamuddin (tengah) bersama pemenang pertandingan mewarna dan kucing tercantik yang dianjurkan sempena Hari Rabies Sedunia semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Veterinar Negeri, Dr Nik Hamidah Nik Husin.

Artikel Berkaitan:

Dr Quaza Nizamuddin berkata, vaksin merupakan kaedah untuk mencegah dan mengawal penyakit itu dengan meningkatkan imuniti dalam badan anjing.

"Sebab itulah kita menggalakkan pemilik anjing terutama di Sarawak mengambil vaksin yang diberikan secara percuma,” katanya.

Katanya, sehingga kini penyakit rabies di Sarawak mencatatkan 21 kematian, selepas kes pertama yang dikesan di Kedah pada 1925.

Dalam pada itu, Dr Quaza Nizamuddin berkata dalam strategi pencegahan, pihaknya turut meningkatkan kawalan sempadan berhampiran Thailand di negeri-negeri bahagian utara seperti Perlis, Kelantan, Kedah dan sebahagian Perak.

Katanya, kawalan sempadan itu mampu mengawal penyakit ini daripada merebak ke bahagian Selatan tanah air dan pada tahun ini tiada kes rabies di laporkan di Semenanjung Malaysia.

Dr Quaza Nizamuddin (dua dari kiri) merasmikan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Seremban Prima Mall semalam.
Dr Quaza Nizamuddin (dua dari kiri) merasmikan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Seremban Prima Mall semalam.

“Pendekatan yang kita ambil di Semenanjung Malaysia adalah melakukan pembentukan kawasan imun, bermakna negeri-negeri yang bersempadan dengan negara berisiko tinggi untuk terkena rabies akan dipantau sepenuhnya.

“Antara aktiviti pencegahan yang dijalankan di kawasan imun termasuklah mewajibkan setiap anjing bertuan untuk mendapatkan imunisasi, mendapatkan lesen anjing dan kawalan populasi anjing terbiar dengan lebih efektif,” katanya.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, penyakit rabies dalam haiwan terutamanya anjing boleh dicegah jika semua anjing bertuan diberikan suntikan imunisasi penyakit rabies.

Sejak 2017, sebanyak 140,103 anjing telah menerima vaksin yang mewakili 68 peratus daripada 205,000 keseluruhan anjing di Sarawak, manakala 21,991 anjing terpaksa dimatikan sejak Julai 2018 dengan menggunakan kaedah yang mematuhi kebajikan haiwan.

Hari Rabies Sedunia disambut setiap 28 September sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran dunia mengenai kepentingan pencegahan penyakit rabies dalam kalangan masyarakat.

Pada tahun ini tema yang dipilih adalah, ‘Rabies: Vaksin untuk Eliminasi’ dan Negeri Sembilan merupakan tuan rumah sempena sambutan Hari Rabies Sedunia Peringkat Kebangsaan.

Pelbagai aktiviti diatur antaranya pertandingan mewarna, pertandingan kucing cantik, pertunjukan anjing Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan serta pameran agensi.

Datuk Dr Quaza Nizamuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna.
Datuk Dr Quaza Nizamuddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna.