[DIKEMASKINI] PPPB hanya urus permit pasir di Pekan, Rompin

Wan Rosdy semasa menjawab soalan tambahan Yu Man yang memohon penjelasan mengenai dakwaan pengusaha pasir berdepan masalah untuk memperbaharui permit mereka pada sidang DUN hari ini.
Wan Rosdy semasa menjawab soalan tambahan Yu Man yang memohon penjelasan mengenai dakwaan pengusaha pasir berdepan masalah untuk memperbaharui permit mereka pada sidang DUN hari ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Perbadanan Pasir Pahang Berhad (PPPB) ditubuhkan bagi menguruskan pengeluaran permit konsesi pasir di Pekan dan Rompin sahaja serta bukan bertujuan untuk memonopoli kegiatan perlombongan pasir di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan bahawa ada pengusaha pasir yang sukar memperbaharui permit adalah tidak tepat.

"Banyak perkara yang perlu diteliti dan dibincangkan. PPPB yang ditubuhkan akan menguruskan permit pasir tapi setelah dibincangkan secara lanjut pengeluaran itu (permit pasir) hanya di Pekan dan Rompin.

"Pengeluaran permit pasir tidak melibatkan daerah lain dan sini mungkin ada kekeliruan mengenai isu ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Leong Yu Man (PH-Triang) yang memohon penjelasan mengenai dakwaan pengusaha pasir berdepan masalah untuk memperbaharui permit mereka.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang masalah yang dihadapi pengusaha jika mereka mahu memperbaharui permit.

"Sepengetahuan saya tiada masalah ini berlaku seperti yang didakwa," katanya

Beliau sebelum itu memaklumkan, sebanyak 20 pengusaha yang diberikan lesen operasi pasir dan masih aktif melakukan aktiviti tersebut di daerah Bentong.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lima kawasan dalam kawasan DUN Ketari diluluskan kerajaan.

"Ia melibatkan dua operator di Sungai Bentong dan Sungai Benus dan satu di Sungai Kelau," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memantau aktiviti dilakukan menerusi pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah.

Menurutnya, pihaknya berharap supaya orang awam untuk menyalurkan maklumat yang sahih jika berlaku aktiviti pengambilan secara haram.

Katanya, aduan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan tindakan, pemantauan menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang menerusi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 9 Oktober lalu.

"Penubuhan unit ini membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih bersepadu merangkumi semua aspek berjalan dengan lebih pantas dan berkesan," katanya.