LTTE: Permohonan jaminan penghantar surat didakwa miliki item ditolak

No Image Caption
A
A
A

SEGAMAT - Seorang penghantar surat, S Teeran, 38, yang didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada bulan lepas, ditolak permohonan jaminan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Rasidah Roslee, yang membuat keputusan itu di hadapan tertuduh setelah mendengar hujahan daripada peguambela pemohon A Mathan dan Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang.

Rasidah, dalam penghakimannya berkata, beliau bersetuju dengan hujahan Suriani bahawa jaminan tidak boleh diberikan terutama melibatkan kes-kes kepentingan awam dan keselamatan negara.

Beliau menambah bahawa tugas Mahkamah Sesyen juga untuk menyebut dan menguruskan kes itu sebelum ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Justeru beliau berkata, permohonan untuk jaminan haruslah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes sebegini.

Permohonan jaminan itu dibuat oleh peguam bela atas dakwaan anak guamnya mengalami sakit tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan pada bulan Julai lepas sehingga memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan untuk pulih.

Terdahulu Suriani berkata, permohonan jaminan harus ditolak memandangkan tertuduh didakwa di bawah kes yang melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara, selain laporan perubatan tertuduh dari Oriental Melaka Straits Medical Centre tidak boleh diterima memandangkan ia dari hospital swasta.

Timbalan Pendakwa Raya itu juga berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan permohonan jaminan memandangkan tidak berada di bawah bidang kuasa mahkamah itu.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 19 Disember untuk pengurusan kes dan laporan pakar forensik.

Pada 29 Okt lepas, Teeran yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di bandar ini, dituduh memiliki barangan berunsurkan perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 6.30 petang di alamat Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai di sini, 10 Oktober lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130 JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item berkenaan. - Bernama