Wang tunai, pencetak dan telefon bimbit antara yang dirampas dalam operasi semalam.
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 13 individu termasuk enam wanita ditahan dalam 13 serbuan menerusi Op Dadu Khas bagi membanteras loteri awam haram sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) semalam.

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi melibatkan 13 pegawai dan 55 anggota polis itu melibatkan serbuan menyerbu di 13 lokasi bermula jam 2.30 petang di beberapa premis seluruh daerah tersebut.

"Tujuh lelaki dan enam wanita yang ditahan mengaku terlibat dalam aktiviti judi empat nombor loteri awam haram di beberapa buah premis perjudian di kawasan Butterworth, Kepala Batas dan Mak Mandin.

"Kita turut merampas 14 buah telefon bimbit pelbagai jenama, lima buah pencetak, 40 slip bercetak bertulis angka-angka, tujuh buah kalkulator dan sejumlah wang tunai. Kesemua barang rampasan akan dihantar ke pakar judi yang dilantik untuk tujuan analisa," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.