Jangan sesuka hati naikkan harga ketika musim cuti sekolah: Exco

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Golongan peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan makanan sesuka hati pada musim cuti sekolah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, isu itu akan timbul setiap kali musim cuti berikutan peningkatan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

Justeru beliau berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan pemantauan lebih aktif bagi mengesan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

"Kita akan guna sepenuhnya khidmat agensi seperti KPDNHEP untuk tegakkan hak pengguna dan peniaga yang dikesan melakukan kesalahan akan berdepan tindakan seperti kompaun dan seumpamanya," katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Zon Timur 2019, di Dataran Syahbandar di sini malam tadi.

Mohd Nur Khuzaini berkata, pengguna juga diminta membuat laporan kepada KPDNHEP sekiranya berlaku peningkatan harga mendadak pada musim cuti sekolah, manakala pihak berkuasa menyediakan pelbagai medium untuk menerima aduan termasuk laman sosial Facebook, sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp. - Bernama

Artikel Berkaitan: