Kenapa masih jual rokok di restoran?

A
A

MULAI 1 Januari 2019 larangan merokok di sembilan jenis premis di tempat awam, telah mengundang pelbagai reaksi. Namun yang menarik perhatian adalah gelagat dan kerenah perokok di restoran yang melakukan protes secara sindiran atau sinis dengan larangan ini.

Ada yang melucukan. Malah ada yang memperlekeh larangan merokok terutamanya di restoran. Ada juga adegan membawa tali pengukur untuk menentukan jarak 3 meter dari premis restoran, mengangkat kerusi dan meja keluar dari restoran, seperti yang tular dalam media sosial.

Banyak lagi adegan berupa protes secara senyap dan juga usaha saman yang dikemukakan oleh NGO kerana tidak bersetuju dengan larangan merokok di restoran.

Pengumuman dan tindakan larangan ini bertujuan mendidik orang ramai supaya akur dengan larangan merokok yang berkuat kuasa mulai 1 Januari, selain menguar-uarkan denda dan hukuman penjara terhadap pihak berkaitan jika mereka gagal mematuhi peraturan terbabit.

Sebenarnya larangan dan peraturan ini bukanlah perkara yang baharu. Langkah ini merupakan inisiatif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017. Cuma penguatkuasaan sahaja dilaksanakan pada 1 Januari 2019.

Mengikut peraturan ini, mereka yang merokok di tempat awam boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. Selain restoran terbuka, bilik merokok di Parlimen ditutup Oktober tahun lepas bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.

Di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23 tempat diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk pusat hiburan, teater (kecuali pub, disko, kelab malam dan kasino), dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa dingin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan.

Selain daripada Peraturan 11, di bawah Peraturan 22, Menteri Kesihatan juga boleh menentukan sesuatu kawasan sebagai kawasan larangan merokok.

Peraturan dan penguatkuasaan ini melibatkan perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua restoran dan premis makanan termasuk warung-warung makanan di tepi jalan.

Pemerhatian penulis di beberapa premis terutamanya di restoran mamak, mendapati masih ramai yang tidak mematuhi peraturan ini dengan pelbagai alasan. Sesetengah pekerja restoran memberikan ingatan agar tidak merokok di premis mereka, ditakuti akan disaman oleh pihak penguat kuasa. Namun masih ramai yang dengan selamba dan menentang larangan ini sehingga hampir mengundang perselisihan dan pergaduhan.

Namun persoalan ketara yang juga didengari oleh mereka yang menentang larangan ini adalah kenapa restoran masih lagi dibenarkan menjual rokok? Ada juga rasionalnya. Jika pihak kerajaan serius untuk melarang merokok di restoran, kenapa rokok masih lagi dibenarkan dijual di restoran. Seperti wujud double standard. Di suatu pihak melarang, di sudut yang lain seolah-olah membenarkannya pula.

Malah beberapa perokok yang ditemu bual mendakwa bahawa sebenarnya kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam larangan ini. Jika rokok tetap dijual dan dipaparkan kepada pelanggan mereka akan tetap merokok di restoran sebagai habit selepas makan.

Walaupun Kementerian Kesihatan akan memperluaskan pewartaan kawasan larangan merokok dalam tempoh terdekat, membabitkan premis kedai dobi dan hotel di negara ini, namun larangan merokok di restoran belum lagi dimantapkan.

Pada dasarnya wujud keperluan mendesak untuk memperluaskan pewartaan larangan itu kerana kedai dobi dan hotel lazimnya berjerebu dengan asap rokok. Namun hairannya pandai pula perokok tidak merokok di restoran segera! Ini mungkin kerana di restoran segera tidak menjual rokok.

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan sedang giat dengan pengumuman awam menggunakan pembesar suara daripada van yang berlegar di kawasan restoran dan tempat awam.

Tempoh mendidik selama enam bulan yang diperuntukkan sebelum kompaun dan denda dikeluarkan masih terpakai. Usaha ini bagi memastikan agar masyarakat sedar dan mengetahui larangan ini, meskipun wujud desakan supaya pendekatan itu dimansuhkan.

Pihak kementerian juga mengambil maklum bahawa akan timbul pelbagai reaksi atau bantahan daripada perokok dan juga pemilik restoran berikutan arahan ini. Namun pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini.

Diharap dengan larangan dan penguatkuasaan ini membolehkan masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan mereka tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka. Peniaga juga tidak perlu gusar kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap yang mampu mengundang penyakit.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi,

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.