B40 perlukan lebih banyak pendedahan berkaitan kesihatan, keselamatan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) semalam. - Foto Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) semalam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan B40 perlu diberi lebih banyak pendedahan berkaitan kesihatan dan keselamatan dalam usaha merealisasikan Dasar Komuniti Negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana golongan berkenaan masih kurang mendapat pendedahan dan ilmu dari segi keselamatan dan kesihatan mereka.

Sehubungan itu katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu membantu golongan ini mendapatkan pendedahan yang informal untuk tingkatkan keselamatan dan kesihatan dan sekali gus membantu meningkatkan mutu hidup rakyat negara ini.

“Jentera kerajaan sahaja tidak cukup untuk memperkasakan komuniti, melalui NGO ia dapat bantu sampaikan maklumat,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peranan NGO dalam merealisasikan Dasar Komuniti Negara.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) yang dipengerusikan Tan Sri Lee Lam Thye di sini, semalam.

Dasar Komuniti Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari lepas, bertujuan mewujudkan komuniti yang mempunyai anggota masyarakat berdaya saing dan memiliki satu perasaan untuk bersatu bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang.

Mengulas mengenai penubuhan Ikatan, Zuraida berkata ia bertepatan dan seiring dengan Dasar Komuniti Negara.

Media sebelum ini melaporkan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara akan tertumpu kepada lapan kluster utama - infrastruktur dan penyelenggaraan; kebersihan, alam sekitar dan kesihatan, keselamatan, pendidikan dan kemahiran.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis berkenaan, Zuraida turut menyerahkan borang keahlian korporat Ikatan kepada 3M Malaysia Sdn Bhd dan PLUS Malaysia Berhad.

Sementara itu Lam Thye berkata, penubuhan Ikatan ialah bagi mempromosi keselamatan sebagai budaya dan cara hidup rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya telah merancang pelbagai program bersama jabatan, agensi kerajaan serta penduduk dalam menjayakan misi tersebut.

Tambah Lam Thye, selain mendekati golongan B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Ikatan akan bekerjasama dengan pengusaha tahfiz berdaftar dalam menyampaikan mesej kesedaran keselamatan.

Beliau berkata, Ikatan akan menghimpunkan tenaga pakar dalam bidang tertentu antaranya keselamatan, kesihatan, alam sekitar dan ergonomik. - Bernama