Terharu terima anugerah khas arwah anak daripada Agong

Roslan yang ditemani isterinya, Siti Zanariah menerima ijazah arwah anaknya yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Canselor UMP di bilik kamar Kompleks Sukan universiti berkenaan pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-14, kelmarin.
Roslan yang ditemani isterinya, Siti Zanariah menerima ijazah arwah anaknya yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Canselor UMP di bilik kamar Kompleks Sukan universiti berkenaan pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-14, kelmarin.
A
A
A

KUANTAN - Bapa kepada penerima Anugerah Khas 'Anumerta' Universiti Malaysia Pahang (UMP), Allahyarham Mohamad Hakim Roslan, 25, terharu dan tidak pernah menyangka dia akan menerima ijazah mewakili arwah anaknya pada sidang pertama Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-14, kelmarin.

Roslan Jodin, 56, dari Melaka hadir menerima ijazah itu yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Canselor UMP di bilik kamar Kompleks Sukan universiti berkenaan.

Allahyarham Mohamad Hakim, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan kepujian meninggal dunia pada 25 Jun lalu selepas bertarung dengan derita kanser usus sejak tahun 2017.

Pesara tentera itu berkata, anak sulungnya itu banyak tertinggal kuliah kerana terpaksa bercuti sepanjang menerima rawatan.

“Saya sekeluarga menghargai dan kagum dengan sokongan rakan-rakan dan pensyarahnya selama ini.

“Saya masih ingat, rakan-rakannya sanggup berkumpul mengajarnya di rumah transit dalam kampus ditemani kami sekeluarga,” katanya yang ditemani isteri, Siti Zanariah Mohd Ripin, 46 dan tiga anaknya.

Sementara itu, Siti Zanariah berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat keluarga namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT dan berharap ketabahan arwah anak sulungnya itu menjadi semangat kepada anak-anaknya yang lain.

“Saya sekeluarga berterima kasih dan menghargai kesudian pihak UMP menguruskan kehadiran kami ke majlis ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Majlis pengurniaan ijazah itu turut dihadiri Pro Canselor UMP, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Kisah arwah yang mempunyai semangat juang tinggi melawan penyakitnya turut dikongsikan pensyarahnya dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Dr Abdul Nasir Abd Ghafar.

Dr Abdul Nasir berkata, semangat Allahyarham Mohamad Hakim wajar dicontohi penuntut lain.

“Sebagai pensyarah yang juga penasihat rasmi pertandingan kereta elektrik Shell Eco Marathon Asia 2018, Allahyarham antara pelajar yang berminat menjadi ahli pasukan ini sehingga sanggup menawarkan diri untuk melakukan kerja- kerja fabrikasi.

“Dia juga sering bercerita mengenai pengalaman bersama ayahnya membaiki bot, suatu kemahiran yang tiada pada ahli lain dalam pasukan yang cukup muda ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira dua minggu setelah pertemuan pertama bersama ahli pasukan, dia menerima pesanan daripada Allahyarham untuk menarik diri kerana masalah kesihatan dan tidak mampu untuk ke bengkel menyiapkan kereta bersama rakan-rakan lain.

“Mohamad Hakim tidak hadir ketika sesi pembentangan projek kerana terlantar di hospital.

“Dia yang mengendalikan skop kerja elektrik dan elektronik hanya menjawab soalan panel secara atas talian, langsung dari hospital,” katanya.