Jangan persoal hak mengundi rakyat

A
A
A

BARU-BARU ini, tular sedutan video yang menampilkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo.’

Video tersebut dikatakan video pada tahun lepas, tetapi tarikh sebenar tidak diketahui.

Dalam video tersebut, Papagomo mengatakan bahawa beliau mahu melihat tertubuhnya sebuah kerajaan bumiputera hasil daripada penyatuan ummah yang mungkin sekali merujuk kepada kerjasama dijalinkan oleh UMNO dan Pas atas pentas Muafakat Nasional.

Wan Muhammad Azri juga menyatakan hasratnya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen supaya menarik balik hak mengundi rakyat Malaysia yang berbangsa Cina dan India.

Sedutan video itu bukan baharu, tetapi apa yang diutarakan oleh Wan Muhammad Azri perlu diulas dan dikupas.

Walaupun beliau mengatakan bahawa ia adalah merujuk kepada ‘Cina DAP’ tetapi itu tidak disebut dalam video. Apapun, tiada sebab untuk menarik hak mengundi sesiapa.

Perlu ditekankan, Wan Muhammad Azri bukanlah seorang ahli UMNO yang biasa, tanpa jawatan dan berada di pinggiran. Beliau adalah seorang Exco Pemuda UMNO.

Pendapatnya mungkin pendapat peribadi, tetapi sentimen itu boleh menular dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Harus ditegaskan bahawa hak untuk mengundi adalah hak yang dijamin dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk setiap rakyat Malaysia.

Hak itu dinikmati secara khusus oleh rakyat Malaysia tidak kira etnik, agama, kelas sosial dan lain-lain. Ia adalah hak asasi yang dikhaskan kepada semua rakyat Malaysia tanpa pengecualian.

Seperti yang sedia maklum, apa-apa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen termasuklah ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tanpa sokongan itu, pindaan tidak akan berjaya.

Namun demikian, sekiranya cadangan seperti itu mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen dalam kerajaan yang diimpikan oleh Papagomo sekalipun, ia bertentangan dengan doktrin struktur asas Perlembagaan (basic structure doctrine).

Doktrin itu telah dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd lwn Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat iaitu apa-apa pindaan yang bertentangan dengan struktur asas itu adalah tidak berperlembagaan (unconstitutional).

Maka, jika terdapat usaha membatalkan hak mengundi orang Cina dan India sekalipun, doktrin struktur asas itu akan menghalang keesahan pindaan tersebut.

Kata-kata Wan Muhammad Azri itu juga menjurus kepada ucapan kebencian (hate speech) kerana beliau secara natijahnya mahu membeza-bezakan rakyat Malaysia dengan taraf yang berlainan mengikut kaum.

Ia juga sesuatu yang boleh dikatakan sebagai menghasut, walaupun saya menentang penggunaan Akta Hasutan walaupun dalam situasi itu.

Kata-kata tersebut juga berkemungkinan melanggar Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam (public mischief).

Saya tidak mengetahui apa sebab Wan Muhammad Azri membuat cadangan ekstrem seperti itu. Itu bukan lagi isu politik. Hak mengundi adalah sesuatu perkara yang tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Perbuatan Wan Muhammad Azri itu sungguh tidak bertanggungjawab.

Saya benar-benar berharap semua pihak terutama sekali pemimpin parti politik untuk tidak membuat kenyataan-kenyataan seperti itu yang boleh memburukkan lagi hubungan antara kaum dan mengganggu-gugat keharmonian yang kita kecapi.