Pemilik setuju runtuhkan kuil dibina

Rumah ibadah berkenaan yang masih dalam proses pembinaan.
Rumah ibadah berkenaan yang masih dalam proses pembinaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilik sebuah rumah ibadat di kawasan rumah pangsa di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai yang tular di media sosial bersetuju meruntuhkan sendiri binaan tersebut.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, persetujuan tersebut dibuat selepas pihaknya bertemu dengan pemiliknya dan berbincang mengenai isu berkenaan.

“Pembinaan rumah ibadat di kawasan tersebut tidak dinafikan memang agak ketara.

“Binaan rumah ibadat ini bukan atas tanah rizab tetapi dibina di atas tanah hak milik strata,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah mengeluarkan notis mengikut Seksyen 72 berdasarkan Akta 133 iaitu meruntuhkan binaan pada 24 Disember lepas dalam tempoh 21 hari dan jangkaan tamat tempoh notis pada 13 Januari ini.

“Kelmarin, jabatan telah datang semula bersama pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) serta polis dan garisan kuning yang dipasang sebelum ini tidak dibuka.

“Malah, tiada pembinaan dijalankan sebagaimana yang dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru itu, satu lagi notis serahan tangan di bawah Seksyen 82 mengikut Akta 171 telah diberikan yang mana kacau ganggu dihapuskan dalam tempoh lima hari pada pemilik kuil itu.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan berkaitan akan meneruskan proses permohonan mahkamah sekiranya pemilik didapati masih gagal mematuhi tempoh notis yang dikeluarkan atau operasi bersepadu pada mana-mana tempoh yang terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Adun Skudai, Tan Hong Pin berkata, pihaknya difahamkan MBIP telah mengeluarkan notis kacau ganggu kepada pemilik premis dan meminta agar dia meruntuhkan pembinaan rumah ibadat tersebut serta-merta.

“Sebarang tindakan yang diambil oleh penduduk perlulah masuk akal dan berlandaskan undang-undang.

“Pada masa yang sama juga, ahli majlis kawasan itu telah berkomunikasi dengan pemilik premis dan meminta tindakan meruntuhkan kerja-kerja binaan tersebut dilakukan,” katanya.

Terdahulu, pembinaan rumah ibadat berkenaan mendapat respons pelbagai daripada orang ramai selepas gambarnya tular di media sosial.