'Bunyi seperti ribut sebelum api marak'

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa.
Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa.
A
A
A
KUALA LUMPUR — Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, yang mendengar kes dua remaja yang dituduh membunuh 23 penghuni pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, tahun lalu, bahawa dia terdengar bunyi seumpama ribut ketika kejadian kebakaran tragis pusat itu berlaku.

Bekas pembantu warden di pusat tahfiz itu, Muhammad Umair Al-Fawwaz Mohd Gunawan, 23, berkata dia yang sedang tidur di tingkat satu pusat tahfiz itu terjaga selepas dikejutkan warden asrama yang dikenali sebagai ustaz Huzaifah, pada 5.30 pagi, 14 Sept 2017.

“Sebaik terjaga saya dengar bunyi seperti ribut, saya tak tahu itu kebakaran, tapi bila buka pintu saya nampak kebakaran,” katanya dan menambah sebaik dikejutkan dia segera membuka pintu bilik dan keluar ke balkoni sebelum menjenguk ke atas dan nampak cahaya terang serta api yang marak dari asrama pelajar di tingkat dua.

Saksi pendakwaan ke-24 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan kes itu, yang turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Menceritakan lanjut, Muhammad Umair Al-Fawwaz berkata dia kemudian cuba untuk naik ke tingkat dua melalui tangga bagi menyelamatkan pelajar namun gagal kerana bahang yang panas dari api yang sedang marak.

Saksi itu berkata, dia kemudian bergegas turun ke tingkat bawah untuk membantu beberapa pelajar yang berjaya menyelamatkan diri dengan cara menggelongsor melalui batang paip dan ketika itu orang ramai juga telah masuk ke kawasan pusat tahfiz untuk memberi bantuan.

Kepada soalan peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua tertuduh, bahawa adakah pusat itu mempunyai alat pemadam api, saksi itu yang telah bekerja hampir setahun di pusat itu berkata, dia pernah melihat dua alat pemadam api iaitu di pejabat dan di bilik asrama pelajar.

Namun katanya, dia tidak pasti adakah kedua-dua alat itu masih berfungsi dan sepanjang bekerja di situ, pusat itu tidak pernah mengadakan sebarang latihan kebakaran.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.
Artikel Berkaitan:


Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. - Bernama