Projek ikonik impak tinggi Kedah mula dilaksanakan

Tan Kok Yew
Tan Kok Yew
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa projek ikonik berimpak tinggi yang telah dirancang dan dinantikan penduduk Kedah bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri kini mula dilaksanakan.

Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew berkata, projek impak tinggi seperti Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ) merangkumi zon perindustrian bebas, pusat perniagaan komersial, pelabuhan darat dan landasan kereta api antara projek yang diberikan perhatian utama.

Menurutnya, kawasan itu merangkumi 4.42 hektar di mana 1.619 hektar di bawah Northern Gateway Sdn. Bhd, yang merupakan anak syarikat kementerian kewangan dan bakinya 2.833 hektar di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

"Selain daripada itu, Projek KSTP (Kedah Science and Technology Park), diterajui PKNK telah memulakan kerja-kerja awalan fasa pertama 114.526 hektar daripada keluasan 789.946 hektar.

"Projek ini telah mendapat tawaran pelabur dari China untuk menjalankan aktiviti pembangunan bagi kluster Agro Sains, berkeluasan 269.116 hektar Fasa 1B, dengan nilai pelaburan AS$450 juta," katanya semasa merasmikan Dialog Pasca-Belanjawan 2020: Perkembangan Terkini Pelaburan Berkaitan Logistik, Industri dan Pelancongan di Kedah di sebuah hotel di Alor Setar hari ini.

Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, Mohamad Mahazi Ibrahim (dua dari kanan) turut diundang untuk menjelaskan tentang peluang pelaburan dan ekonomi di Kedah.
Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, Mohamad Mahazi Ibrahim (dua dari kanan) turut diundang untuk menjelaskan tentang peluang pelaburan dan ekonomi di Kedah.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM50 juta untuk projek SBEZ Kota Perdana menerusi Belanjawan 2020 untuk membiayai komponen lain dalam projek itu sekali gus menyuntik kepesatan projek ini untuk membangun.

"Projek ini bakal menjadi pemangkin pertumbuhan pesat kawasan bandar sempadan selain limpahan ekonomi akan dirasai di seluruh negeri dan wilayah utara Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, projek pembangunan Kedah Rubber City (KRC) akan dimulakan dengan kerja-kerja infrastruktur bagi fasa pertama melibatkan keluasan 203.9 hektar," katanya.

Tambah beliau, bagi pembangunan KRC, kerajaan merancang membangunkan kluster industri iaitu produk lateks termaju, tayar dan produk berkaitan tayar, produk kejuruteraan getah, getah termaju dan bahan getah, komponen getah automotif, bioteknologi serta perkhidmatan dan sokongan.

"Kerajaan Kedah menjangkakan nilai pelaburan fasa pertama adalah RM780 juta dengan penyertaan lapan syarikat yang menyediakan peluang kerja berkemahiran tinggi kepada 400 orang.

"Kerajaan menyasarkan kemasukan 20 hingga 30 syarikat luar yang berpotensi untuk melabur susulan sambutan positif ketika menyertai pameran ‘19th International Exhibition on Rubber Technology’ di Shanghai, China, September lalu," katanya lagi.

Kok Yew berkata, antara projek lain yang dinanti-nantikan oleh rakyat Kedah ialah projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dijangka menawarkan 15,000 hingga 18,000 peluang kerja kepada rakyat tempatan apabila telah siap sepenuhnya kelak.