Permintaan papan tanda larangan merokok meningkat

Mohd Radzi menunjukkan papan tanda larangan merokok terdapat di premis perniagaanya di Kuala Berang.
Mohd Radzi menunjukkan papan tanda larangan merokok terdapat di premis perniagaanya di Kuala Berang.
A
A
A

KUALA BERANG - Di sebalik penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari lalu, ia turut memberi rezeki tidak terduga kepada pengusaha pusat sulaman berkomputer dan cenderamata, di sini.

Tinjauan Sinar Harian di premis G-Wang Enterprise semalam mendapati, pengusahanya, Mohd Radzi Talib masih tekun menyiapkan pelekat serta papan tanda dilarang merokok ditempah pelanggan.

Menurutnya, tempahan diterimanya bermula hari pertama larangan itu berkuat kuasa dan sehingga kini sudah hampir 50 unit papan tanda serta pelekat sudah bertukar tangan kepada pelanggan.

"Sekarang ini pun masih lagi sibuk siapkan tempahan dan untuk di kedai saya ini ada dua saiz disediakan iaitu 50cmx40cm (saiz standard) serta 2 kaki x1 1/2 kaki. Permintaan antara pelekat dengan papan tanda hampir seimbang.

"Harga bergantung kepada saiz bermula RM18 untuk pelekat. Walaupun sudah hampir seminggu larangan merokok di premis makanan bermula tetapi masih lagi ada pelanggan datang untuk dapatkan atau tempah pelekat serta papan tanda.

"Bagi pelekat, kebanyakannya jadi pilihan pengusaha atau peniaga-peniaga di kedai makan kawasan kampung berbanding papan tanda," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Mohd Radzi berkata, biarpun penguatkuasaan larangan itu mendapat pelbagai reaksi, namun di sebalik arahan itu dia bersyukur kerana memberikan rezeki tidak terduga kepadanya.

Katanya, walaupun jumlah tempahan tidaklah banyak hingga menjangkau ribuan namun dia tetap bersyukur apatah lagi sebelum ini tempahan bagi 'dilarang merokok' hampir tidak pernah diterimanya.

Artikel Berkaitan: