X

Kindly register in order to view this article
!

The Oranje belum cukup bagus

530973
A
A

BELANDA perlu melakukan persiapan lebih rapi menjelang pusingan akhir Euro 2020 selepas mengesahkan slot penampilan secara merit ke kejohanan berprestij benua Eropah itu.

Kapten The Oranje, Virgil Van Dijk berkata, skuad kendalian Ronald Koeman itu perlu mengkaji semula corak permainan selepas sekadar melakar keputusan seri tanpa jaringan menentang Ireland Utara.

Menurutnya, biarpun beliau berbangga Belanda kembali semula ke saingan pentas elit kejuaraan benua Eropah itu, namun masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki skuad The Oranje berkenaan.

"Sepatutnya menentang Ireland Utara ini kami boleh sahaja melakar kemenangan besar, namun seperti biasa kami mempersiakan deretan peluang menjaringkan gol.

"Biarpun begitu kami akui Ireland Utara bukan lawan yang mudah ditewaskan tapi yang paling penting Belanda lolos ke Euro 2020 dengan apa cara sekali pun," katanya.

Pada aksi Kumpulan C Kelayakan Euro 2020 di Windsor Park awal pagi tadi, satu mata yang diperoleh pelawat sudah cukup membolehkan gergasi Eropah itu kembali ke pentas berprestij berkenaan setelah sekian lama menyepi dari pertandingan besar sejak 2014.

Mengulas perlawanan di laman lawan itu, pemain pertahanan Liverpool berkenaan mengakui pelawat sedikit tertekan apabila skuad tuan rumah kendalian Michael O'Neill memberi tekanan ketika perlawanan berbaki 15 minit.

"Pujian saya berikan kepada pemain-pemain Belanda yang kekal fokus dan cukup berdisiplin biarpun tuan rumah menggandakan asakan pada penghujung perlawanan.

"Kini kami kembali semula ke pentas utama Eropah cumanya masih banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan bagi memastikan Belanda tampil lebih bagus pada kejohanan itu nanti," katanya.

Belanda kini menduduki tangga kedua kumpulan dengan mengumpul 16 mata setelah mengharungi tujuh perlawanan dua mata di belakang pendahulu Jerman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus