'Dalam kepala ingat mati, tapi realiti aku hidup'

Paparan Twitter tular di laman sosial.
Paparan Twitter tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda menggeletar seluruh badan apabila nyaris maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lalu, di sini.

Menerusi perkongsian pelayar @hlmndzkr di Twitter mendedahkan dirinya ibarat mati hidup semula dalam kemalangan yang tidak dimaklumkan lokasi sebenar kejadian itu.

"Masa kejadian dalam kepala aku ingat mati je tapi realiti aku hidup. ALLAH beri peluang untuk aku ubah semua dalam hidup aku.

"Jadi beringat la ya. Hidup kat atas bumi ni sekali saja. Kau jangan ingat kat bumi ni kau hebat kepala kau besar kau boleh hidup lama. Bila-bila saja ALLAH tu boleh arahkan malaikat maut jemput kau," katanya menerusi Twitter.

Berkongsi kisah katanya, ketika itu, dia dari Kuala Lumpur menghala ke Putrajaya dan menjadi perkara biasa berulang-alik malah sering pulang lewat kerana tuntutan kerja.

"Masa tu jam 7 pagi, aku dari Kuala Lumpur menghala ke Putrajaya. Selama ni aku ulang-alik Meru, Kapar, Shah Alam, Kuala Lumpur ke Putrajaya. Kerja aku ni banyak atas kereta. Keluar rumah 9 pagi, balik rumah 4 pagi.

"Aku kerja ni lama juga, setiap hari tak cukup tidur tapi ALLAH anugerahkan aku mata tahan lama syukur. Selama ni aku memandu selamba saja tiada masalah tapi satu hari kejadian itu, aku rasa lain sikit.

"Sampai satu selekoh ni aku rasa lain macam, mata aku terlelap. Aku buka saja mata, kereta aku hancur, 'total lost'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika keluar dari kereta, dia tergamam apabila memikirkan bagaimana dirinya boleh terselamat daripada insiden apabila melihat keretanya remuk.

"Masa aku sedar, kereta aku dah hancur memang tak boleh buat apa. Cermin depan belakang pecah aku tak pakai tali pinggang keledar, nasib tak tercampak.

"Aku keluar dari kereta duduk menung bercangkung kat luar tengok kereta selama dua jam. Ketika itu tiada sesiapa berhenti untuk hulurkan bantuan, berkemungkinan tidak perasan atau macam tidak nampak kemalangan ini," katanya.

Jelasnya, dalam sibuk menahan orang ramai, secara tiba-tiba sebuah kenderaan berhenti di lokasi tersebut dan seorang lelaki bertanyakan keadaan dirinya, selain sudi meminjamkan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga.

Sebelum lelaki tersebut beredar, dia sempat berpesan kepada @hlmndzkr agar menikmati peluang kedua dan perbaiki diri kerana ALLAH menyayanginya.

Dalam pada itu, @hlmndzkr juga berharap perkongsian kisahnya itu menjadi iktibar kepada warganet agar berubah menjadi lebih baik sebelum ALLAH menunjukkan kuasa kepada hambanya.

"Sembilan dari 10 cakap aku mati. Inilah sebabnya aku berubah jadi selembut-lembutnya. Betul kata orang tua 'Jangan sampai tuhan tu tunjuk dekat kau Maha Kuasanya'," katanya.

Link Twitter