Yayasan Pahang menang anugerah Tempat Kerja Paling Sihat di Malaysia

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Pahang dipilih antara pemenang kategori Tempat Kerja Paling Sihat di Malaysia melalui anugerah AIA Vitality anjuran syarikat insurans, AIA Berhad semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemenangan itu dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti penugasan, kesihatan, gaya hidup, gangguan jangka pendek, kesihatan klinikal, dan kesihatan mental.

Menurutnya, Yayasan Pahang ternyata memenuhi kesemua kriteria tersebut dan agensi ini boleh dikatakan ‘sihat’.

"Lebih membanggakan apabila Yayasan Pahang mendapat penghargaan dalam empat kategori iaitu, Majikan Paling Sihat, Kakitangan Paling Sihat, Tempat Kerja Paling Sihat dan Tempat Kerja Paling Baik.

"Pada masa yang sama, Yayasan Pahang turut terpilih menduduki tempat teratas dalam kategori organisasi kecil yang mempunyai 250 pekerja ke bawah," katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau bangga dengan kejayaan Yayasan Pahang itu kerana agensi itu mengambil perhatian serius terhadap kakitangan dan persekitaran tempat kerjanya.

"Tidak dapat dinafikan, keadaan tempat kerja memainkan peranan penting dalam menjamin kualiti kerja kerana persekitaran yang baik akan memberikan galakan dan motivasi kepada kakitangan untuk terus maju ke hadapan.

"Kakitangan yang bahagia akan menjanjikan sebuah agensi berjaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau berharap agensi-agensi lain menjadikan kejayaan Yayasan Pahang sebagai inspirasi untuk berusaha memperbaiki persekitaran kerja agar menjadi lebih sihat dan kondusif.