Rezeki penanam ubi di musim tengkujuh

Fatin Farahiyah menyusun sebahagian ubi yang dijual di gerainya di tepi jalan Pasir Mas -Tanah Merah di Kampung Paloh. - Foto Bernama
Fatin Farahiyah menyusun sebahagian ubi yang dijual di gerainya di tepi jalan Pasir Mas -Tanah Merah di Kampung Paloh. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - Musim tengkujuh merupakan 'bonus' kepada pekebun kecil yang menanam pelbagai jenis ubi di Kelantan apabila tanaman terbabit mendapat sambutan daripada masyarakat dan peraih sehingga ia popular di negeri ini.

Tidak hairan jika begitu banyak gerai-gerai kecil dan khemah didirikan oleh masyarakat khususnya pekebun kecil untuk menjual pelbagai jenis ubi seperti ubi kayu, ubi keledek termasuk labu bagi menambah pendapatan.

Seorang peniaga Fatin Farahiyah Kamarul Zaman, 27, berkata bermula dari bulan November sehingga Mac tanaman itu laku dijual kerana mendapat permintaan tinggi berikutan dijadikan makanan sampingan seperti kuih cek mek, putu halba, masakan gulai dan lain-lain.

Fatin Farahiyah menunjukkan ubi kayu dan ubi badak yang dijual di gerainya di tepi jalan Pasir Mas - Tanah Merah di Kampung Paloh. - Foto Bernama
Fatin Farahiyah menunjukkan ubi kayu dan ubi badak yang dijual di gerainya di tepi jalan Pasir Mas - Tanah Merah di Kampung Paloh. - Foto Bernama

"Keluarga saya juga tidak ketinggalan mengambil kesempatan itu untuk menjual pelbagai jenis ubi pada musim hujan sejak 15 tahun lalu," katanya kepada Bernama di Kampung Paloh di sini.

Tinjauan Bernama di kampung tersebut yang terletak berdekatan Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, mendapati hampir 20 gerai menjual pelbagai jenis ubi dengan harga serendah RM3 sehingga RM6 sekilogram.

Fatin Farahiyah berkata, dengan menjual pelbagai jenis ubi, keluarganya mampu memperoleh hasil jualan RM200 sehingga RM300 sehari.

"Antara ubi yang paling mendapat sambutan ialah ubi kayu kerana ia sinonim dengan musim tengkujuh dan biasa direbus serta dimakan dengan kelapa.

Artikel Berkaitan:

“Bekalan pelbagai jenis ubi ini saya peroleh daripada penduduk setempat dan tanam sendiri di tanah seluas 1 ekar (0.405 hektar) terletak di belakang rumah saya,” katanya.

Sementara itu, pekebun kecil Mohd Noor Josoh, 55, berkata, sejak 10 tahun lalu apabila tiba musim tengkujuh beliau boleh menarik nafas lega untuk mendapat lebih pendapatan bagi menyara keluarganya.

"Musim hujan saya tidak boleh menoreh oleh itu saya mengambil inisiatif tanam pelbagai jenis ubi seperti ubi badak, ubi kayu, keledek dan kemiling di tanah milik saya seluas dua ekar (0.809 hektar) di samping menyewa tanah terbiar milik jiran.

"Saya jual kepada peniaga dan peraih ubi antara RM3 sehingga RM5 sekilogram, wang hasil jualan RM500 sehingga RM2,000 sedikit sebanyak dapat membantu menyara keluarga selain digunakan untuk persiapan anak-anak sekolah," katanya. - Bernama

Fatin Farahiyah memeriksa ubi badak yang dijual di gerainya di tepi Jalan Pasir Mas - Tanah Merah di Kampung Paloh. - Foto Bernama
Fatin Farahiyah memeriksa ubi badak yang dijual di gerainya di tepi Jalan Pasir Mas - Tanah Merah di Kampung Paloh. - Foto Bernama